HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 Mac 2017

Arab bukan Islam dan Islam bukan Arab

Zainuddin Maidin
 
Kongres Budaya mesti tentang pengaraban bangsa Melayu


SAYA angkat topi kepada Rais Yatim yang terus gigih untuk memperjuangkan bangsa berbudaya tetapi saya tidak pasti samaada Tan Sri melihat anasir yang membawa keruntuhan identiti dan kekuatan bangsa adalah kerana kepercayaan kearaban adalah keIslaman.

Kemerosotan Kebudayaan Melayu dan kehilangan dinamisme pemikiran Melayu bukan kerana anasir negatif budaya barat dari aspek pemikiran bebas, liberal, tak bermoral, tidak Islamik dan sebagainya tetapi kerana kekeliruan terhadap nilai kekuatan sebenar dalam kefahaman Islam.

Kongkongan pemikiran agama yang tertutup menyebabkan wujudnya keadaan ini.

Pakaian Arab dan amalan-amalan kearaban disekutukan dengan ke Islaman.”Kearaban adalah keislaman dan  keislaman adalah kearaban”

Telah lenyap dalam keseragaman pakaian kebangsaan Melayu bersongkok hitam pada hari-hari kebesaran; hari raya, majlis kenduri ,sembahyang Jumaat bagi lelaki dan berbaju kurung moden atau tradisi dan bertudung bagi wanita.

Identiti ini telah hilang lenyap dari surau dan masjid di Semenanjung Tanah Melayu di lindungi oleh kopiah putih, serban, jubah dan sebagainya.

Keseragaman dalam pakaian Kebangsaan Melayu hanya masih boleh dilihat di Singapura, Sarawak, Sabah dan Brunei pada hari-hari kebesaran atau pada majlis-majlis kenduri tetapi di semenanjung sudah tidak lagi menunjol.

Ini berbanding dengan Majlis-majlis kenduri kahwin di Brunei dan Sarawak yang  keceriaanya dan kegemilangnya terlihat dengan para tetamu berpakaian kebangsaan Melayu dan wanita-wanitanya berpakaian Melayu dan tidak berjubah

Malah untuk sembahyang waktu pun di Sarawak, Sabah dan Brunei bumiputeranya berbaju Melayu dan bersongkok hitam.

Akhbar Utusan Melayu adalah akhbar yang menjuarai penentangan keras terhadap penjajahan budaya dan pemikiran Arab dan penghormatan melampau terhadap bangsa Arab dari sejak tahun 30an.

Anak Taiping berpendidikan Inggeris dan kemudiannya menjadi Presiden Singapura Allahyarham Yusuf Ishak yang merupakan Pengasas Utusan Melayu telah menubuhkan Utusan Melayu dalam tahun 30an kerana tidak mahu penerbitan Melayu terus di kuasai oleh orang Arab.

Adiknya, Aziz Ishak yang pernah menjadi Menteri Pertanian dalam kabinet Perdana Menteri Pertama Tunku Abdul Rahman menulis” Pada tahun 1930an perasaan anti Arab dan Jawi Peranakan berkembang dalam kalangan Melayu di negeri-negeri Melayu terutama di Johor dan Singapura. Nasionalisme ini mendahului kebangkitan menentang penjajahan Inggeris.

Yusuf Ishak mulanya berkerja dengan akhbar Warta Malaya kepunyaan keluargra Arab Alsagof di Singapura tetapi bila merasa diexploitasi beliau berhenti dan kemudian menubuhkan Utusan Melayu dan membunuh Warta Malaya dengan mengambil wartawan terkemukanya Abdul Rahim Kajai untuk berkerja dengan Utusan Melayu.

Yusuf sedar, Alsagof mahu menghancurkan Utusan Melayu. Beliau melawan habis-habisan dengan kerja keras bersama rakan-rakan Melayu yang sejiwa dengannya sehingga berjaya menamatkan riwayat Warta Malaya.

Semasa saya menjadi Menteri Penerangan saya mensyaratkan penceramah agama di RTM berpakaian kebangsaan dengan bersongkok Melayu dan semua perserta program takbir Hari Raya mesti berpakaian kebangsaan.

Hanya mufti-mufti negeri sahaja yang boleh memakai terbus merah dengan lilitan putih untuk ceramah di RTM bagi menunjukan autoriti dan membezakan mereka dengan ustaz-ustaz biasa.

Kongres Pembudayaan Tamadun Tinggi, 4 April ini di Universiti Malaya mestilah melihat pengaraban bangsa Melayu yang sedang berjalan tanpa sedar ini dengan secara serious.

Langkah jangka panjang yang berani dan berstrategik mestilah dirangka untuk mengeluarkan Melayu dari kefahaman Islam yang sempit dan nasionalisme Melayu yang berasaskan sentimen perpaduan Melayu Malaysia dan Indonesia yang terlihat lebih ditumpukan kepada Minang.

Matinya Tulisan Jawi adalah kerana sentimen Melayu hendak menyatukan bahasa Melayu dan Indonesia berasaskan persamaan ejaan yang diperjuangkan oleh ASAS 50.

Anak- anak Melayu di sekolah-sekolah harus didoktrinkan dari awal dengan kemegahan songkok nasional dengan mewajibkan pemakaiannya dari kelas rendah untuk sembahyang Jumaat seperti pegawai kerajaan wajib memakai batik setiap Khamis.

Orang Melayu mesti disedarkan Arab bukan Islam dan Islam bukan Arab.

Pencapaian dan kejayaan kita sebagai suatu bangsa moden dan bermaruah adalah dengan pemikiran yang dapat melihat aspek progresif  Islam menerusi pendidikan dan keilmuan  Barat. Inilah anasir yang membuka minda Tunku Abdul Rahman, Abdul Razak, Dr Ismail dan Dr Mahathir Mohamad dalam memajukan Islam di negara ini.

Mestilah diakui hakikat bahawa tidak ada kemajuan keilmuan Islam dalam sains, teknologi dan lain-lain sejak sekian lama kecuali kegemilangan zaman silam yang diulang cerita.

Banyak intelektual Arab yang progresif yang lari ke Barat kerana tekanan ulama-ulama jumud yang menghalang pentafsiran Islam yang dinamik berasaskan Quran dan Hadis.

Pembudayaan Tamadun Tinggi Bangsa Malaysia mestilah berasaskan kepada nilai – nilai universal Islam, sezaman, dinamik, terbuka dan progresif dan bukannya Kemelayuan dan Keminangan yang sempit atau keIslaman yang kearaban.

Tiada ulasan: