HALAMAN SANTAI

Ahad, 26 Mac 2017

Tiada aktiviti pembalakan di hutan simpan kekal Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

IMG_1285


KUALA SELANGOR: Kerajaan Negeri tidak membenarkan sebarang aktiviti pembalakan di hutan simpan kekal seluruh Selangor, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, komitmen itu dilaksanakan bagi memastikan nilai estetika hutan di negeri itu kekal terpelihara selaras dasar sedia ada yang dilaksanakan, sejak 2009.

“Kawasan hutan mempunyai estetika tidak ternilai seperti sungai, air terjun, jeram dan pembentukan batu yang unik, tanah lembab, flora dan fauna yang mampu menjadi destinasi pelancongan tempatan juga antarabangsa.

AZMIN

“Selaras hal ini, Kerajaan Negeri melaksanakan dasar pembalakan ‘monitoring’ selama 25 tahun dengan tidak membenarkan sebarang aktiviti pembalakan di dalam hutan simpan kekal,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika berucap pada Program Tanam Pokok di Taman Alam sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Selangor 2017, pada 25 Mac lalu.

Terdahulu, Kerajaan Negeri tidak lagi mengeluarkan lesen pembalakan komersial sejak dasar moratorium 25 tahun memberhentikan pembalakan komersial diperkenalkan, pada tahun 2009.

Menyokong kepada usaha itu, Mohamed Azmin berkata, 250,129 ekar atau 31.5 peratus kawasan hutan di Selangor diwartakan sebagai hutan simpan kekal.

Beliau berkata, ia satu dasar yang ditetapkan dengan keluasan hutan simpan kekal di Selangor tidak boleh kurang dari 30 peratus berbanding keluasan tanah yang ada.

Tidak terhenti setakat itu, katanya, polisi pengurusan dan pemuliharaan pokok di negeri berkenaan turut diwujudkan sebagai inisiatif menjayakan hasrat terbabit.

“Untuk tempoh ini, kita menjalinkan kerjasama bersama Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan menyediakan polisi pengurusan dan pemuliharaan pokok di seluruh Selangor.

“Polisi ini membuktikan usaha Kerajaan Negeri terhadap aktiviti pemulihan dan pemeliharaan pokok oleh pihak berkuasa tempatan Selangor dilaksanakan mengikut amalan agrikultur terbaik,” katanya.-NFN

Tiada ulasan: