HALAMAN SANTAI

Isnin, 27 Mac 2017

Mahdzir ugut guru-guru, kata Siti Mariah

Berita Daily Staff

Menteri Pendidikan itu disarankan agar memberikan keutamaan terhadap usaha memperbaiki mutu pengajaran dan pembelajaran (P&P) di semua sekolah dalam negara

KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan Mahdzir Khalid didakwa cuba mengawal pergerakan dan mengugut guru agar tidak terlibat dengan aktiviti atau program yang dianjurkan parti pembangkang.

Malah Ahli Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud berkata Mahdzir yang bersikap kolot itu cuba menafikan hak guru untuk membuat pilihan.

“Saya meneliti kenyataan Menteri Pendidikan, Mahdzir Khalid yang menasihat guru-guru yang cenderung menyokong parti pembangkang supaya berhenti daripada perkhidmatan tersebut.

“Itu secara tersurat tetapi secara tersirat pula, saya melihat kenyataan beliau sebagai satu bentuk ancaman dan ugutan awal supaya para guru tidak terlibat dengan program parti pembangkang atau bersedia menerima padah.

“Dengan perkembangan teknologi maklumat dan minat politik rakyat semakin bercambah baik, agak aneh apabila pemimpin negara seperti Mahdzir memilih untuk bersikap kolot dan jumud dengan menafikan hak para guru untuk menyokong parti politik bukan kerajaan,” katanya menerusi kenyataan media.

Siti Mariah menyarankan Mahdzir memberikan keutamaan terhadap usaha memperbaiki mutu pengajaran dan pembelajaran (P&P) di semua sekolah dalam negara.

“Bukan satu rahsia lagi apabila para guru dibebankan dengan tugasan berbentuk pentadbiran dan perkeranian sehingga mengganggu fokus mereka untuk mengajar.

“Saya juga menggesa Datuk Seri Mahdzir supaya menyiasat sekolah-sekolah terutamanya di luar bandar, Sabah dan Sarawak yang sehingga sekarang tidak menikmati infrastruktur pendidikan yang lebih sempurna.
“Inilah antara keutamaan yang perlu beliau laksanakan sebagai Menteri Pendidikan,” ujar Ketua Angkatan Wanita Parti Amanah Negara (Amanah) itu lagi.

Semalam, Mahdzir menasihatkan guru yang aktif dalam mempromosi pembangkang dan asyik memburukkan kerajaan berhenti daripada perkhidmatan.

Jelasnya, setiap kakitangan awam sepatutnya sedar bahawa mereka terikat dengan peraturan yang ditetapkan dalam Perintah Am dan tindakan mengkritik hingga berbaur fitnah tidak sepatutnya berlaku.

Tiada ulasan: