HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Mac 2017

Salahuddin sedia disaman waris kepada dua lagi tokoh dalam Pas

MALAYSIA DATELINE

Salahuddin AyubSalahuddin AyubTimbalan Presiden Amanah  Salahuddin Ayub tidak gentar untuk terus mengunakan nama dua lagi tokoh besar dalam Pas untuk menganjurkan wacana ilmu dan bersedia untuk berhadapan dengan  sebarang tindakan perundangan oleh ahli waris.

 Beliau berkata cadangan untuk mengusulkan  kepada Amanah membabitkan tokoh utama Pas seperti  Allahyarham Hj Yusuf Rawa dan Allahyarham Datuk Fadzil Noor akan dicadangkan kepada parti itu,  walaupun waris kepada Allahyarham Nik Abdul Aziz Nikmat sebelum ini, membantah penganjuran Seminar Pemikiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang dijangka akan diadakan pada 9 April ini.

"Mungkin dalam Mesyuarat Bulanan Amanah minggu depan, saya akan mencadangkan supaya ada individu, NGOs dan pertubuhan politik berminat untuk menganjurkan wacana dua orang lagi tokoh besar yang lain iaitu Allahyarham Hj Yusuf Rawa dan Allahyarham Ustaz Datuk Fadzil Noor.

"Pemikiran politik kedua-dua orang tokoh ini juga sangat besar kesan dan pengaruhnya dalam merubah paradigma,'patern' budaya politik negara ini.

"Saya berharap waris kepada kedua-dua mereka bolehlah bersiap untuk menyaman saya ke mahkamah," ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Salahuddin berkata demikian ekoran laporan polis yang dibuat oleh waris Allahyarham Nik Aziz pada 23 Mac lalu di Kota Bahru terhadap Amanah kerana berhasrat menganjurkan 'Seminar Pemikiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz' tanpa kebenaran daripada ahli waris.

Bagi waris tindakan Amanah itu disifatkan sebagai biadab dan sangat tidak bertanggungjawab apabila sanggup menggunakan nama Allahyarham bagi mempromosikan parti serpihan Pas itu.

Penggunaan nama Nik Abdul Aziz dengan tidak mendapat persetujuan telah memberi imej buruk kepada Allahyarham dan keluarga yang seolah-olah menggambarkan mereka menyokong perjuangan Amanah.

Kata anak ketiga Allahyarham, Nik Adli Nik Abdul Aziz dalam sidang akhbar khas di kediaman Nik Abdul Aziz di Pulau Melaka seperti dipetik  menyebut lagi tindakan Amanah anjurkan seminar itu akan menimbulkan kekeliruan di kalangan ahli Pas kononnya Allahyarham sekiranya masih hidup akan menyokong Amanah sedangkan Allahyarham selama hayatnya cukup istiqamah dengan perjuangannya bersama Pas.

Salahuddin dalam kenyataannyahari ini  menjelaskan dalam sejarah ketamadunan manusia, seseorang tokoh yang bertaraf dunia akan disoroti pemikiran dan sumbangan hasil kerjanya oleh warga dunia merentas sempadan bangsa, warna kulit, negara dan agama dengan pelbagai latarbelakang.

"Mereka bukan 'jaguh kampung' yang hanya disanjung oleh puak ataupun kelompok sendiri.

"Kehebatan mereka adalah faktor yang menyumbang kepada pencerahan ilmu, pemikiran dan tamadun manusia.

"Lazimnya, segala pemikiran besar tokoh-tokoh ini diungkap kembali setelah mereka meninggalkan dunia," ujarnya.

Salahuddin berpandang wacana intelektual adalah medan terbaik bagi melahirkan perbahasan yang sihat sekaligus mengangkat martabat cara berfikir manusia terhadap apa jua cabaran dan manusiawi itu sendiri.

Katanya lagi,apabila wacana ilmu dan pemikiran dianggap masalah atau penyakit yang ditakuti, maka itu adalah petanda malapetaka besar bakal menimpa.

"Adalah pelik dan menjengkelkan apabila ada kelompok manusia yang marah dan risau apabila ada pihak yang mahu menganjurkan 'Seminar Pemikiran Tok Guru Nik Abdul Aziz' ini.

" Bagi saya sejujurnya, TGNA adalah seorang tokoh dan negarawan yang juga dimiliki rakyat dan negara. Tidak keterlaluan jika ada di antara kita yang menganggap beliau adalah tokoh dunia pada kelasnya yang tersendiri," terang Salahuddin dengan menyebut beberapa nama tokoh tersohor dunia yang diangkat pemikiran mereka untuk diwacanakan kepada khalayak.

Antaranya beliau menyebut berkaitan tulisan Michael Hart dalam bukunya "The Hundreds Most Influencial Persons In History".

Dalam buku ini jelas Salahuddin, Michael Hart meletakkan Nabi Muhammad SAW dalam rangking pertama bersama Albert Einstein, Aristotle, Napoleon, Che Geuvara dan Nelson Mandela, antara seratus tokoh paling berpengaruh dalam sejarah dunia.

Manakala John Esposito pula menyenaraikan Prof Yusuf Qardawi, Racib Tayeb Erdogan, Rashid Ghanoshei dan Imam Khomeni di dalam karyanya "500 Most Influential Muslims".

"Ini membuktikan bahawa dalam wacana ilmu dan pemikiran, semua orang tanpa mengira siapa pun mereka berhak berwacana kerana pemikiran dan ilmu adalah hak universal kurniaan Tuhan.

"Universiti tersohor dunia seperti Havard mengabadikan nama 'JF Kennedy School of Politics' dan demikian juga Oxford mengiktiraf perjuangan Abraham Lincoln dengan 'Lincoln's School of Law'.

"Negara kecil Singapura melalui Universiti Nanyang meletakkan nama Lee Kuan Yew di 'LKY School of Politics and Foreign Affairs'," hujah Salahudin.

Tiada ulasan: