HALAMAN SANTAI

Jumaat, 31 Mac 2017

Azmin didakwa sembunyi fakta pembinaan jirat Cina

 Bernama

Isu pembinaan jirat Cina itu dibangkitkan Sulaiman sebelum ini rentetan bantahan penduduk lima kampung di daerah Kuala Selangor yang menyifatkan lokasi tanah perkuburan itu tidak sesuai selain berhampiran dengan kediaman penduduk

SHAH ALAM: Mohamed Azmin Ali didakwa menyembunyikan fakta ketika menjelaskan isu pembinaan jirat Cina di Kampung Bukit Cerakah, Kuala Selangor, pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang, Sulaiman Abdul Razak berkata Menteri Besar Selangor menyatakan kelulusan cadangan projek di atas tanah seluas 110 hektar itu mendapat sokongan Adun Jeram, Amiruddin Setro.

Namun, katanya Mohamed Azmin tidak menjelaskan alasan sebenar di sebalik sokongan tersebut.

Menurutnya, Mohamed Azmin tidak memberitahu Dewan bahawa Amiruddin menyokong projek berkenaan selepas syarikat terlibat bersetuju menyerahkan semula 9.3 hektar daripada 110 hektar tanah itu untuk dijadikan tapak perkuburan Islam.

“Selepas menghubungi Adun Jeram, beliau (Amiruddin) mengesahkan asas sokongannya ialah 23 ekar (9.3 hektar) tanah itu akan diserahkan semula dan diberi kepada Jais (Jabatan Agama Islam Selangor) untuk diwartakan sebagai tanah perkuburan Islam.

“Kita sedia maklum pembangunan di kawasan Puncak Alam (Kuala Selangor) tinggi, penduduk semakin ramai dan tanah perkuburan Islam tidak mencukupi.

“Maka Adun Jeram bersetuju sokong kerana dia akan dapat selesaikan masalah perkuburan Islam di kawasan itu,” katanya kepada pemberita di lobi Bangunan

Dewan Negeri Selangor di sini hari ini, ketika sidang DUN berhenti rehat. Amiruddin tidak hadir ke sidang DUN hari ini.

Terdahulu, ketika menggulung titah ucapan menjunjung kasih Sultan Selangor, Mohamed Azmin yang juga Adun Bukit Antarabangsa menjelaskan cadangan projek pembinaan jirat Cina itu mendapat sokongan Adun kawasan tersebut (Amiruddin).

Isu pembinaan jirat Cina itu dibangkitkan Sulaiman sebelum ini rentetan bantahan penduduk lima kampung di daerah Kuala Selangor yang menyifatkan lokasi tanah perkuburan itu tidak sesuai selain berhampiran dengan kediaman penduduk.

Menurut Adun Permatang itu lagi, walaupun Amiruddin menyokong projek berkenaan tetapi keputusan akhir sama ada meneruskan projek atau membatalkannya terletak di tangan kerajaan negeri.

“Sebagai kerajaan yang responsif kepada desakan rakyat, kalau Kidex (Projek Lebuhraya Kinrara-Damansara) menteri besar boleh batalkan kerana bantahan penduduk, kenapa di kawasan ini walaupun 2,000 tandatangan penduduk diserahkan beliau tidak memberi maklum balas?

“Saya nampak kerajaan negeri kekal dengan keputusan untuk beri kebenaran itu,” katanya.

Mengenai kenyataan menteri besar bahawa kelulusan projek itu diberi ketika pentadbiran kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional, Sulaiman berkata ia adalah untuk perancangan pembangunan, namun kelulusan pembinaan diberi pada 2016.

Menurutnya tidak semua penduduk sedia maklum mengenai perancangan pembangunan atau waktu bantahan sehinggalah projek itu diluluskan.

“Kita tidak salahkan penduduk mungkin ada antara mereka tidak jelas, tidak tahu atau tidak ambil hal terhadap perancangan pembangunan tetapi bila (projek) telah diluluskan baru penduduk nak bantah,” katanya.-Bernama

Tiada ulasan: