HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Mac 2017

Arab Saudi belum bayar pampasan mangsa kren runtuh di Mekah

 Farhan Darwis

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pemberian pampasan itu adalah hak mutlak kerajaan Arab Saudi

KUALA LUMPUR: Kerajaan Arab Saudi masih belum membayar sebarang pampasan kepada jemaah haji Malaysia yang terlibat dalam insiden kren runtuh di Masjidil Haram pada September 2015 lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pemberian pampasan itu adalah hak mutlak kerajaan Arab Saudi dan sehingga hari ini tiada sebarang makluman berhubung status pampasan tersebut.

“Untuk makluman, pembayaran pampasan kepada mangsa tragedi runtuhan kren adalah hak mutlak Kerajaan Arab Saudi.

“Sehingga kini Kerajaan Arab Saudi masih belum memaklumkan status pembayaran kepada mangsa runtuhan kren pada musim haji 1436 Hijrah bersamaa 2015 Masihi,” kata Asraf semasa menjawab soalan Ahli Parlimen Bachok, Ahmad Marzuk Shaary di Dewan Rakyat hari ini.

Kerajaan Malaysia bagaimanapun katanya sudah menyerahkan semua nama jemaah yang terlibat dalam insiden tersebut untuk mengenalpasti mangsa dan waris mereka yang terlibat bagi tujuan pembayaran pampasan itu, kata Asraf.

“Pada 2015, pihak Tabung Haji telah serahkan nama jemaah haji yang terkorban dan cedera akibat kejadian tersebut kepada pihak berkuasa Arab Saudi bagi tujuan mengenalpasti mangsa dan waris mereka yang terlibat.

“Pihak Tabung Haji sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa Arab Saudi bagi mendapatkan perkembangan semasa dan akan memaklumkan sekiranya terdapat maklumat terkini daripada pihak berkuasa berkenaan,” katanya lagi.

Namun, beliau berkata, Tabung Haji sudah membayar pampasan takaful kepada semua mangsa runtuhan tren tersebut yang berjumlah RM43,000 setiap seorang.

Raja Arab Saudi sebelum ini mengarahkan sejumlah wang pampasan diberikan kepada keluarga mangsa tragedi yang terkorban, cedera serta mengalami kecacatan kekal akibat insiden itu.

Raja Salman Abdulaziz Al Saud mengumumkan pampasan sebanyak SR1 juta (RM1.08 juta) kepada keluarga mangsa terkorban manakala SR500,000 (RM540,000) kepada jemaah yang cedera.

Insiden 11 September dua tahun lalu mengorbankan lebih 100 nyawa termasuk tujuh dari Malaysia, sementara 12 jemaah lagi tercedera.

Tiada ulasan: