HALAMAN SANTAI

Jumaat, 31 Mac 2017

Najib makin dapat sokongan, buat keputusan tepat bersabit RUU 355

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Keputusan kerajaan untuk tidak mengambil alih rang undang-undang bagi memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah atau RUU 355, mempertingkatkan lagi keyakinan rakyat terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Barisan Nasional (BN).
 
Demikian kata Naib Presiden MIC, Datuk T Mohan yang membidas pendapat menyatakan tindakan itu memperlihatkan Najib sudah kehilangan pengaruh di dalam BN. 
 
"Tidak (hilang pengaruh), malah saya ingat beliau dapat lagi banyak support (sokongan) melalui keputusan ini," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Pemimpin Amanah, Khalid Samad mendakwa penarikan diri BN dari RUU 355 adalah 'petanda' kegagalan Najib untuk menyatukan parti komponen BN dalam rancangannya untuk mendapatkan sokongan orang Melayu.
 
Ahli Parlimen Shah Alam itu juga menambah, dengan keputusan penarikan diri kerajaan itu, Najib dilihat sudah hilang keyakinan dan pengaruh di dalam BN.
 
Mohan bagaimanapun menyangkal dakwaan berkenaan dengan menambah, isu tersebut langsung tidak berbangkit.
 
Beliau malah menegaskan bahawa Najib membuat keputusan yang tepat selepas mengambil kira pandangan parti komponen BN, selain menimbangkan suasana Malaysia yang terdiri daripada rakyat pelbagai kaum. 
 
"Selepas Datuk Seri Najib dengar dengan semua ahli komponen MCA, MIC, Gerakan dan sebagainya, mengenai apa implikasi yang akan timbul sekiranya RUU 355 dilaksanakan. Dengan satu persetujuan, beliau hormat parti komponen, beliau buat keputusan yang bagus.
 
"Negara ini bukan untuk orang Islam saja, orang bukan Islam pun ramai juga di negara ini. Kerajaan tahu apa yang baik dan yang tidak baik," kata beliau lagi. 
 
Pengerusi BN yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Rabu lalu mengumumkan keputusan konsensus BN, untuk tidak mengambil alih RUU bagi memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah daripada PAS.
 
Justeru, PAS sendiri akan membentangkannya di Parlimen dan perlu mengikut giliran yang akan ditentukan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia. 


Tiada ulasan: