HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Mac 2017

DAP sokong tiga hari cuti bergaji untuk ibu bapa jaga anak sakit


Roketkini.com

KUALA LUMPUR: DAP menyokong pemberian tiga hari cuti bergaji tambahan kepada ibu bapa bekerja yang mempunyai anak berusia bawah 12 tahun.

Perkara itu diputuskan oleh Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP dalam mesyuarat malam tadi.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata pemberian cuti tahunan itu bertujuan untuk menekankan kepentingan menjaga dan membesarkan anak-anak, baik dari pihak bapa atau ibu.

Pada masa sama, katanya, ia adalah bagi menggalakkan golongan wanita untuk bekerja biarpun selepas berkeluarga dan memperolehi anak.

“Dalam masyarakat patriarki yang mengikut model tradisional pembahagian tanggungjawab mengikut jantina, bapa selalunya mencari nafkah manakala ibu menjaga anak-anak dan rumah tangga.

“Tanggungjawab menjaga anak sakit selalunya berada di bahu ibu. Ini merupakan sebab mengapa golongan wanita berhenti kerja, dibayar dengan gaji lebih rendah dan tidak dinaikkan pangkat.

“Untuk Malaysia menjadi negara maju, kadar penyertaan wanita dalam pekerjaan mesti mencapai sekurang-kurangnya 60 peratus,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Guan Eng, lebih banyak dasar harus dilaksanakan bagi menyeimbangkan komitmen serta tanggungjawab lelaki dan wanita terhadap kerja, keluarga dan anak-anak.

“Tapi untuk sambutan Hari Buruh tahun ini, DAP akan mulakan dengan menyokong pemberian tiga hari cuti bergaji tambahan kepada ibu bapa dengan anak bawah usia 12 tahun,” katanya.

Cadangan itu sebelum ini dibuat oleh Ketua Wanita DAP, Chong Eng ekoran ramai ibu bapa muda yang mempunyai masalah dalam menyeimbangkan bidang kerja dengan tanggungjawab menjaga anak-anak. – Roketkini.com


Tiada ulasan: