HALAMAN SANTAI

Sabtu, 1 April 2017

Pampasan RM2.7j: Keputusan mahkamah bukti Azmin silap, kata Khalid

ANTARAPOS.COM
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Keputusan Mahkamah Tinggi yang menyebelahi bekas kakitangan Menteri Besar Selangor (MBI) bersabit pemberian pampasan RM2.7 juta, sedikit sebanyak membersihkan nama saya, kata Tan Sri Khalid Ibrahim.
 
Bekas menteri besar Selangor itu turut menyelar tindakan Datuk Seri Azmin Ali yang secara semberono, bermotifkan politik serta berniat jahat yang mahu mencalar imejnya.
 
“Sejujurnya saya tidak terkejut dengan keputusan mahkamah ini kerana amat yakin saya telah menggunakan proses yang telus dan beretika di dalam transaksi tersebut selaras dengan peruntukan di dalam Enakmen MBI (Menteri Besar Pemerbadanan).
 
“Saya amat bersyukur keputusan yang dibuat pada hari ini kerana ianya secara langsung telah membersihkan nama saya daripada tuduhan salah laku ketika bertugas sebagai menteri besar,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
 
Mahkamah semalam memutuskan RM2.7 juta yang dibayar kepada tujuh kakitangan pejabat Khalid, yang hilang pekerjaan apabila beliau disingkirkan, sah. 
 
Mahkamah menolak tuntutan pemulangan wang pampasan oleh Menteri Besar (Pemerbadanan), yang kini diketuai Azmin.
 
MBI mengemukakan tuntutan terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Faekah Hussin dan Rohani Talib, Arfa'eza Abdul Aziz, Mustapha Mohd Talib, Rahimah Kamarudin, Abdul Halim Mohamed Yusof serta Tuan Nazuri Tuan Ismail.
 
Mereka menerima pampasan itu sebagai ganti rugi apabila kontrak mereka ditamatkan selepas Khalid dipaksa meletak jawatan sebagai Menteri Besar pada September 2014.
 
Khalid tidak menolak “keghairahan” Menteri Besar Selangor meneruskan tindakan saman tersebut sebagai usaha untuk “menutup kepincangan dan ketirisan” dalam pentadbiran hari ini.
 
Khalid menyeru rakyat Selangor agar jangan penat menuntut pentadbiran kerajaan negeri yang telus.
 
Menurut beliau, sikap kerajaan negeri yang berdegil mahu mengambil alih syarikat perkhidmatan air SPLASH pada harga RM2.8 bilion sedangkan nilai ekuiti syarikat hanya RM800 juta menimbulkan banyak persoalan integriti.
 
“Jika rancangan ini diteruskan rakyat akan menanggung kos yang sangat tinggi dan tidak akan berpeluang untuk memiliki saham syarikat air yang kini telah dimiliki kerajaan negeri.
 
“Rakyat perlu prihatin atas perbelanjaan yang telah dibuat dan memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan memberi pulangan dan nilai yang setimpal,” tambahnya.
 
MBI menyaman tujuh orang bekas kakitangan berkenaan untuk mendapatkan kembali pemberian wang pampasan itu, atas alasan jumlah yang dibayar melebihi daripada yang sepatutnya diterima.
 
 

Tiada ulasan: