Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: Meskipun sering kalah dalam pendakwaan yang dibuat Naib
Presiden PKR Rafizi Ramli, tetapi beliau tidak pernah merasa serik untuk
berbuat demikian, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Sohaimi
Shahadan.
Katanya, pendedahan yang dibuat oleh Rafizi Khamis lalu hanyalah
sebagai satu taktik lama yang digunakan oleh PKR bagi mengalih
perhatian isu pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang
Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355.
“Saya lihat ini adalah satu taktik alih perhatian yang dibuat oleh
Rafizi untuk isu RUU355 kerana mereka perlu buat ‘character sensation’
untuk PAS supaya dapat alihkan perhatian sokongan PAS kepada RUU ini,
dan juga kerjasama PAS ke arah kerjasama untuk rakyat bersama Umno dan
BN.
“Jadi taktik yang dibuat oleh Rafizi ni memang taktik lama dan
digunakan oleh Anwar Ibrahim satu ketika dahulu dan sebagai politikus
yang gila publisiti yang memulakan siri-siri pemfitnah bersiri ni,"
katanya kepada Antarapos.
Khamis lalu, Rafizi dalam satu sidang akhbar membuat pendedahan bekas
timbalan presiden PAS, Datuk Nasharudin Mat Isa antara penerima dana
1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Selepas itu, beliau telah membuka laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai pendedahan berkenaan.
Beliau mendakwa memperolehi bukti itu daripada seorang bekas pegawai
kanan SPRM yang terbabit secara langsung dalam siasatan kewangan 1MDB.
Bagaimanapun, rata-rata pemimpin-pemimpin PAS bingkas menolak dakwaan
Rafizi dengan menegaskan Nasharuddin tidak lagi aktif dalam PAS setelah
beliau tewas pada pemilihan parti tahun 2011.
Sohaimi juga tidak menolak Rafizi cuba mewujudkan kebencian dalam
kalangan rakyat dengan menunjukkan bahawa parti PAS tidak bersih dan
mempunyai hubungan dengan Umno.
“Dia (Rafizi) cuma nak tunjukkan PAS ini tidak bersih, ‘corrupt’ dan
juga dia cuba nak tunjukkan PAS ni ada link kepada Umno supaya timbul
politik kebencian di kalangan rakyat terhadap PAS.
"Khususnya kepada mereka yang tidak ada parti yang nak tunjukkan bahawa
PAS ini seolah-olah balaci Umno dan terlibat dalam menerima duit
daripada Umno dan sebagainya padahal fakta itu tidak jelas dan tidak
berlaku”, ujarnya.
Justeru Sohaimi menasihatkan Rafizi untuk tidak terus mencalar
kredibilitinya dengan mendedahkan perkara yang tidak benar dan bersifat
fitnah.
"Maka saya pun nak sarankan pada dia gunakanlah politik yang berhemah
daripada dia buat tuduhan yang tidak berasas dan juga memalukan diri
nanti bila dia dibuktikan tidak benar maka dia terpaksa cari alasan yang
lain pula”, katanya lagi.
Untuk rekod, Rafizi pernah bertindak mendedahkan laporan pengauditan 1MDB sebelum ini.
Susulan pendedahan itu beliau dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan
kerana didapati bersalah melanggar Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972, dan
beliau berkemungkinan hilang kelayakan sebagai ahli parlimen.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan yang akan didengar 9 Ogos ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan