PAS telah mendapat kebenaran pihak kerajaan bagi
membawa pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355 ke persidangan
Parlimen kali ini.
Namun, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata,
masa itu akan ditentukan oleh pihak Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri
Pandikar Amin Mulia mengikut ‘standing order’ Parlimen.
“Kita mendapat persetujuan untuk bawa pada sidang Parlimen kali ini
dan akan dibahas, insya Allah. Itu Speaker (Dewan Rakyat) yang tentukan
masa mengikut ‘standing order’ Parlimen selepas urusan kerajaan.
"Walau bagaimanapun, kerajaan boleh beri masa bila-bila masa sahaja,”
ujarnya kepada wakil media selepas menyampaikan kuliah dhuha di Masjid
Rusila, Marang, hari ini.
Ketika ditanya, apakah kesan kepada PAS setelah kerajaan Barisan
Nasional (BN) enggan membawa RUU 355 itu ke Parlimen, beliau menegaskan
tiada kesan kepada partinya.
Malah, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata sebenarnya pihak
kerajaan sendiri bersetuju agar PAS yang membawa ‘private bill’ itu ke
Parlimen.
“Tak ada kesan, sebenarnya pihak kerajaan setuju kita bawa ‘private
bill’ itu. Ini (RUU 355) kaitan tentang hak orang Islam, kewajiban
bersama bagi orang Islam dan tak ada sebab bagi orang bukan Islam untuk
campur tangan,” jelasnya dipetik Buletin Online.
Sehubungan itu, beliau menyeru khususnya kepada semua ahli parlimen
Islam agar menyokong pindaan RUU Akta 355 tersebut sementara ahli
parlimen bukan Islam pula dinasihatkan agar menghormati Perlembagaan.
“Saya seru ahli parlimen Islam khususnya menyokong. Ada pun yang
bukan Islam supaya mereka menghormati Perlembagaan. Perlembagaan
mengatakan ini hak berkait dengan orang Islam sahaja,” tegasnya.
Beliau turut menafikan PAS ditipu sekali lagi oleh Umno BN dalam isu
RUU Akta 355 dan bersedia menghadapi sebarang halangan kerana itu urusan
agama.
“Ini (RUu 355) kewajiban bersama orang Islam, macam masjid kerajaan
benar untuk kita sembahyang Jumaat di masjid. Itu bukan kerja tipu,
kerja agama. Ini urusan agama, bukan kerja menipu.
“Kita akan hadapi halangan-halangan itu dan kita kenal siapa yang menghalangnya, insya Allah,” tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan