shahbudindotcom
UMNO
akan menyambut ulangtahun penubuhannya yang ke-71 pada 11 Mei mendatang
dan oleh kerana pilihanraya paling mencabar baginya untuk terus
mengekalkan kuasa juga akan diadakan pada bila-bila masa, majlis
sambutan kali ini mahu dibuat secara besar-besaran dan paling meriah
sekali.
Di
sebalik Presiden UMNO dan Perdana Menteri, Najib Razak terpalit dengan
skandal kewangan paling besar di dunia yang barangkali tidak pernah
terbayangkan oleh Onn Jaafar ketika menubuhkan UMNO dahulu atau juga
oleh mana-mana Presiden parti kemudiannya yang mana perlakuan tersebut
telah menyebabkan hilangnya rasa keyakinan, parti itu tetap mahu
menunjukkan ia tetap dekat serta melekat di hati rakyat.
Untuk
itu, sambutan kali ini dibuat dengan menawarkan hadiah cabutan bertuah
paling lumayan dalam sejarah. Dikhabarkan enam buah kereta dan 10
motorsikal yang anggarannya bernilai RM1 juta akan menanti ahli-ahli
UMNO yang bernasib baik dengan syarat mereka mesti hadir ke majlis
sambutan ulangtahun yang diadakan itu nanti.
Syarat lain untuk layak menyertai cabutan bertuah ialah diwajibkan sudah berdaftar sebagai pengund yang sah.
Wahhh...satu lagi sejarah baru tercipta untuk UMNO.
Selain
buat pertama kali dalam sejarah ada Presiden UMNO pernah menerima
kemasukan wang sebanyak RM2,600 juta (maklumat antarabangsa lain
kemudian mendedahkan angka itu mencecah RM4,000 juta) melalui akuan bank
peribadi, tawaran hadiah yang ditawarkan sempena sambutan
ulangtahun ke-71 ini juga merupakan satu lagi sejarah.
Barangkali
hanya UMNO dalam dunia ini yang pernah menawarkan hadiah sehingga RM1
juta semata-mata untuk menggamit kehadiran ahli-ahli sendiri memeriahkan
majlis yang diadakannya.
UMNO
yang falsafahnya sekarang lebih kepada "cash is king" sejak dipimpin
oleh Najib, mungkin berbangga dapat menawarkan hadiah selumayan itu,
tetapi hakikatnya ia dengan sendiri menunjukkan kepada dunia bahawa
parti itu semakin rosak, parah dan menunggu masa untuk binasa.
Seharusnya
kehadiran ahli dalam mana-mana program, apatah lagi majlis ulangtahun,
adalah dirangsang oleh semangat perjuangan dan rasa kecintaan, ditambah
dengan perilaku serta kewibawan pemimpinnya yang boleh diharapkan
sebagai tunjang kekuatan, namun kini ia terpaksa beralih dengan
bersandarkan kepada wang dan tawaran lumayan.
Tanpa
keraguan, bolehlah disimpulkan bahawa UMNO kini sedar jika tanpa
tawaran lumayan yang digula-gulakan, tiada lagi ahli-ahlinya yang
sanggup turun untuk memeriahkan sambutan di mana-mana program yang
diadakan.
Syarat-syarat yang diwajibkan untuk layak menyertai cabutan bertuah kali ini saja sudah cukup untuk mengesahkannya.
Akhirnya,
yang hadir nanti bukan saja kosong semangat perjuangan dan kecintaan,
malahan yang lebih diharapkan ialah hadiah-hadiah lumayan yang
ditawarkan.
Tidak
mustahil ada yang tiba-tiba menyertai UMNO semata-mata untuk
mengharapkan hadiah kemenangan cabutan bertuah berkenaan berikutan
kesusahan dan desakan hidup sehingga tidak mampu memiliki kenderaan,
sedangkan keinginan dan gelodak jiwa mereka ialah negara memang perlukan
perubahan.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan