1. KERAJAAN Negeri Melaka yang diterajui Umno-BN
dilihat hanya bersandiwara dalam mengurus isu-isu berkaitan penternakan
babi di negeri itu menyebabkan masalah terus berpanjangan. Hingga kini
nampaknya ia sekadar berlegar di atas kertas dan media biarpun telah
menjangkau sekitar 40 tahun lamanya tanpa penyelesaian komprehensif dan
bersepadu.
2. Bahkan, timbul persoalan dan keraguan yang cukup banyak setelah
pelbagai kesan sampingan yang timbul secara nyata. Antaranya pencemaran
bau dan air melibatkan Sungai Tuang dan Pantai Teluk Gong akibat dari
sisa kumbahan najis babi. Juga mengotorkan persisiran pantai dari
Pengkalan Balak ke Kuala Linggi sepanjang 24 kilometer.
3. Ia menyebabkan penduduk sekitar terpaksa menghadapi aroma busuk
menusuk hidung itu, kerana tempoh masa teramat lama menyebabkan mereka
telah lali dengannya. Ia turut menjejaskan perusahaan lain termasuk
sektor pelancongan yang menjadi keutamaan negeri Melaka. Selain
menyebabkan aktiviti perikanan dan nelayan langsung tidak relevan di
situ.
4. Apatah lagi pihak berautoriti lain turut mengakui, antaranya
Jabatan Veterinar Melaka menyatakan, daripada 36 kandang babi yang
direkodkan di seluruh negeri itu, hanya 14 kandang mematuhi kriteria
penilaian ditetapkan. Pun begitu dilaporkan semua kandang babi tersebut
beroperasi tanpa lesen yang sah dan tidak mengikut prosedur operasi
standard sejak sekian lama.
5. Namun, kerajaan tetap juga tidak menangani serta mengambil
tindakan sewajarnya walaupun telah meluluskan banyak undang-undang dan
perlesenan berhubung perusahaan dan penternakan sejak tahun 1980 lagi.
Malah, meluluskan pula peruntukan kewangan RM50 juta bagi tujuan
membangunkan Ladang Babi Moden di Paya Mengkuang. atas tanah 50 ekar.
6. Tetapi hingga kini pihak kerajaan belum pernah mengadakan
perbincangan dengan para penternak terbabit mengenai pelan yang akan
dilaksana pada tahun 2018 di atas tanah seluas 50 ekar itu. Tiba-tiba
pada 1 Jun lalu, Ketua Menteri, Dato’ Seri Idris Haron sendiri
mengarahkan semua pengusaha kandang babi menandatangani akuan bersumpah
untuk menyelesaikan permasalahan berkaitan.
7. Arahan tersebut sebenarnya membuktikan pihak kerajaan tahu masalah
yang berlaku adalah serius, tetapi masih bersikap acuh tidak acuh.
Malah, bagai satu gimik dan lakonan yang mungkin dipengaruhi sentimen
pilihan raya tidak lama lagi. Juga berbaur ugutan, sedangkan
penguatkuasaan tidak berlaku selama ini. Apakah kerana berselindung di
sebalik kepentingan tertentu?
8. Kita khuatir peruntukan kewangan turut lesap ke lain dan selepas
pilihan raya nanti keadaan akan kekal seperti itu di mana penduduk terus
dimainkan janji. Para penternak pula terus berada dalam ketidakpastian
dan alam sekitar tetap ternoda dengan impak lebih buruk dan menjijikkan.
Ia sekali gus kontradik dengan usaha keindahan, kebersihan dan
kecantikan yang diusahakan bagi negeri bersejarah itu.
9. Demikian itu kami menggesa agar kerajaan negeri telus dan jujur
dalam menyelesaikan isu berlarutan ini dengan melaksanakan peruntukan
sedia ada ke arah kesejahteraan semua pihak. Selain menghindari
kemungkinan buruk seperti pencemaran dan penyakit bawaan babi
sebagaimana JE di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan suatu masa dahulu.
“Sejahtera Bersama Islam
“Mara Menuju Cita
NAZMAN CHE IBRAHIMPengerusi Lajnah Pekerja, Pengguna dan Alam Sekitar
Dewan Pemuda PAS Malaysia
Dewan Pemuda PAS Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan