HALAMAN SANTAI

Isnin, 5 Jun 2017

Isu calon PM: Jawapan Anwar redakan ketegangan dalam PH

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
SHAH ALAM: Respon penuh diplomatik Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap kesediaan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad untuk sekali lagi  menjadi perdana menteri mampu meredakan suasana tegang dalam Pakatan Harapan (PH).
 
Malah penganalisis politik, Dr Jeneri Amir berkata Anwar juga bijak menyembunyikan perasaannya selepas bekas majikannya cuba memintas jalannya untuk diangkat menjadi perdana menteri pembangkang, jika pakatan itu berjaya membentuk kerajaan di Putrajaya.
 
"Itu satu pendekatan yang berhemah dan diplomatik kerana saudara Anwar tidak boleh dilihat menolak terus Tun Dr Mahathir kerana ini sudah pasti akan menyinggung perasaan penyokong dan pemimpin PPBM.
 
"Jadi, jalan terbaik sekarang ialah membuat satu kenyataan yang diplomatik, logikal, dan munasabah untuk meredakan persengkataan yang muncul sekarang ini berkaitan dengan calon perdana menteri," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Anwar ketika ditemui pemberita di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini berkata, Dr Mahathir boleh menjadi calon perdana menteri pembangkang jika dipersetujui konsensus PH.
 
Bekas Ketua Pembangkang itu berkata demikian mengulas kesediaan Dr Mahathir untuk kembali menjadi menerajui negara jika PH memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti, jika diminta berbuat demikian.
 
Mengulas lanjut, Jeniri yang juga Pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berkata PH perlu fokus kepada mengukuhkan kepercayaan rakyat kepada gagasan mereka daripada bertelagah perihal siapa calon perdana menteri.
 
"Pakatan Harapan tidak harus dilihat tidak bersatu ataupun mempunyai percanggahan pendapat dan pendirian tentang calon perdana menteri jika mereka menang pada pilihan raya akan datang," ujarnya.
 
Sebelum ini, mantan perdana menteri Malaysia keempat itu menyatakan hasratnya untuk memikirkan semula memegang jawatan sebagai perdana menteri sekiranya diminta oleh PH.
 
Namun, menerusi LIVE di facebook rasminya beberapa hari lalu, beliau mengatakan bahawa keinginannya sekarang adalah lebih cenderung untuk memegang portfolio sebagai penasihat kepada bakal perdana menteri sahaja. 


Tiada ulasan: