Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang seakan membisu
berhubung penganjuran sambutan program tiga hari 'Jerusalem's Jubilee'
di Melaka, dilihat ekoran mahu menjaga sensitiviti dan pengaruh
penyokong mereka khususnya yang beragama Kristian.
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed
berpandangan, pendirian berkenaan diambil kerana tidak mahu ia
menjejaskan kedudukan mereka dalam menuju Pilihan Raya Umum ke-14
(PRU14) akan datang.
"Saya melihat mungkin dari satu segi kita melihat bahawa dari sudut
parti pembangkang terutamanya gabungan mereka yang melibatkan parti DAP
yang majoriti mereka beragama Kristian.
"Mungkin dari sudut sensitiviti penyokong agama mereka menyebabkan
mereka bagi saya, tidak begitu berani untuk melemparkan kritikan secara
terbuka kerana mungkin dia juga akan mempengaruhi sokongan terutamanya
penyokong yang beragama Kristian," katanya kepada Antarapos hari ini.
Ujarnya lagi, pendirian yang diambil Umno-PAS yang lantang membantah
program tersebut sejak awal adalah disebabkan kedua-dua parti berkenaan
tidak berkompromi mahupun mempunyai kepentingan dalam isu ini.
"Sebab itu saya melihat Umno dan PAS agak ke depan dalam isu ini
berbanding dengan pembangkang kerana kalau kita lihat keseluruhannya
memang kedua parti ini tidak ada kepentingan langsung dalam isu ini.
Manakala parti pembangkang mereka mungkin DAP misalnya mngkin sebahagian
mereka beragama Kristian jadi isu ini mungkin tidak begitu sensitif
bagi parti mereka.
"Walaupun isu ini berkait dengan isu agama Kristian dan kita juga tahu
bahawa sebahagian dari parti-parti komponen dalam BN dan mereka boleh
menghormati bahawa agama negara kita adalah agama rasmi dan terutamanya
sensitiviti terhadap agama Islam memang akan diperjuangkan oleh Umno.
Ini bukan perkara baru daripada dulu lagi kita lihat Umno juga berkaitan
dengan isu agama seringkali memperjuangkan isu ini. Terutama isu
berkaitan dengan Palestin," tambahnya.
Semalam, penganjur perhimpunan Jubli Jerusalem membatalkan program
tersebut setelah berbincang dan mendapat nasihat daripada pihak polis.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada semalam
juga mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengharamkan penganjuran
himpunan yang dirancang di Melaka pada 15 hingga 18 Jun ini.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron juga dalam kenyataannya
hari ini menafikan memberikan kelulusan penganjuran program berkenaan.
Selain PAS dan Umno, sambutan ke-50 kemenangan Israel menjajah Palestin
itu turut mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk berpuluh NGO.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan