Oleh Dr Siva
BAHANG pilihan raya umum (PRU) semakin terasa. Saban hari ramai bercakap mengenainya dalam kalangan masyarakat baik di kedai kopi mahupun media sosial. Ia sudah pasti membabitkan undi yang bakal diperoleh oleh parti politik atau calon pilihan mereka. Namun, tidak ramai memberi tumpuan ke atas undi rosak dan kertas undi yang tidak dipulangkan untuk melihat sama ada ia adalah undi protes atau undi bosan dengan percaturan politik yang tidak pernah berakhir sejak PRU Ke-13. Para strategis tidak terkecuali.
Menjadi
satu kebiasaan di dalam pilihan raya, kita sering melihat kehadiran
undi ini yang sama ada berbentuk rosak ataupun tidak dipulangkan.
Dalam PRU 2008, sebanyak 324,120 kertas undi didapati rosak yang
ditolak manakala di dalam PRU Ke-13, 332,297 kertas undi adalah rosak.
Sebanyak 171,556 undi adalah bagi kerusi Parlimen dan 151,741 adalah
untuk Dewan Undangan Negeri (DUN).
Fenomena
undi rosak sudah berlaku dalam siri pilihan raya dan ini boleh
dilakukan kerana tidak dianggap songsang dengan tingkah laku pengundian
atau satu kesalahan dan juga bukan diketahui awal kerana hanya ketara
sewaktu pengiraan dilakukan.
Ada
empat kumpulan masyarakat yang sama ada aktif atau pasif dalam arena
politik. Ini termasuk sebilangan yang tidak melakukan apa-apa
tindakan; sebilangan lagi terlibat dalam partisipasi ritual seperti
pilihan raya termasuk mengundi, berkempen dan menjadi ahli parti
politik.
Ada pula yang dikategorikan di
bawah politik ganas dan yang terakhir adalah partisipasi protes atau
bersifat konfrontasi yang sebenarnya memberi gambaran mengenai
pengundi kertas undi rosak.
Yang tidak
berpartisipasi adalah kumpulan yang tidak percaya pada sistem; kurang
maklumat mengenai kepentingan pilihan raya; tidak percaya undi mereka
penting; tidak yakin adanya pilihan yang munasabah dan sebilangan yang
merasakan kekurangan sumber untuk terlibat secara efektif.
Namun,
setiap kertas undi penting kepada calon yang bertanding di pilihan
raya baik PRU atau pilihan raya kecil (PRK) kerana ia menjadi penentu
kepada kemenangan mereka baik calon Barisan Nasional (BN) mahupun calon
parti pembangkang serta calon Bebas.
Banyak
cara untuk menggolongkan kertas undi rosak termasuk tidak menandakan
mana-mana pilihan dan dibiarkan kosong; menggunakan tanda-tanda yang
tidak diiktiraf oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR); menandakan lebih
dari satu calon; menggunakan ungkapan yang tidak dibenarkan sebagai
pengganti kepada tanda yang dibenarkan.
Ada
juga yang mengoyakkan kertas undi sebagai protes atas sebab-sebab yang
hanya diketahui oleh pengundi tersebut. Ada juga menunjukkan rasa
bosan mereka dengan menggunakan kerahsiaan mengundi sebagai perlakuan
yang tidak menyokong mana-mana pihak kerana dirasakan sama sahaja.
Ada
pengundi yang menunjukkan mereka bertanggungjawab ke atas demokrasi
berpartisipasi dengan mendaftar sebagai pengundi dan hadir di hari
pilihan raya tetapi membuat keputusan untuk sama ada merosakkan kertas
undi ataupun membawa pulang kertas undi tersebut yang sekali gus memberi
kesan ke atas tanggungjawab mereka pada struktur perjalanan pilihan
raya negara ini.
Walaupun tidak wajar
dipertanggungjawabkan ke atas SPR namun, bagi SPR ia akan membuat mereka
merasakan seolah-olah ada segelintir yang mencabar sistem yang ada
dengan tindakan sedemikian rupa. SPR sebenarnya memberi kelonggaran
dengan membenarkan tanda lain selain tanda pangkah ‘X’ diterima seperti
titik atau tanda lain dengan syarat dibuat dalam ruangan yang
disediakan kerana SPR melihat pengundi tersebut menunjukkan keinginan
untuk memilih seseorang calon.
Ramai
beranggapan seolah-olah pengundi tidak tahu atau tidak faham cara
mengundi semasa pilihan raya walhal kadar celik huruf sudah meningkat
pada paras yang amat membanggakan melainkan golongan ini mempunyai
faktor lain mempengaruhi pemangkahan mereka atau sengaja menunjukkan
literasi politik yang rendah walaupun berpendidikan tinggi.
Mereka
tahu bahawa tidak boleh menulis perkataan dalam kotak kertas undi
tetapi masih lakukannya ataupun membawa pulang kertas undi sama ada
sebagai barang kenangan hadir pilihan raya yang dimuat naik dalam akaun
Facebook mereka serta merta ataupun atas alasan lain.
Ada
yang menyalahkan parti, ada pula yang menidakkan hak calon bertanding
serta sekumpulan yang memberikan undi protes kerana merasakan pilihan
raya tidak ubah kehidupan mereka. Maka, dalam mengamalkan hak demokrasi
sebagai pengundi, mereka juga menunaikan hak untuk tidak memilih
sesiapa.
Yang paling tidak menyeronokkan
adalah untuk melihat undi rosak lebih besar dari majoriti yang diperoleh
oleh seseorang calon atau di sebaliknya dengan majoriti sedikit lebih
dari undi rosak.
Misalnya, di Machang
(majoriti: 805, rosak: 729); Ketereh (majoriti: 974, rosak: 876), Tebrau
(majoriti: 1,767, rosak: 1,551); Bagan Serai (majoriti: 1,140, rosak:
1,096); Segamat (majoriti: 1,217, rosak: 950) dan Beaufort (majoriti:
673, rosak: 559). Di Cameron Highlands (majoriti: 462, rosak: 877),
Bentong (majoriti: 379; rosak: 934); Kuala Selangor (majoriti: 460,
rosak: 934); Baram (majoriti: 194, rosak: 242); Sungai Besar majoriti:
(399 majoriti, rosak: 690); Labis (majoriti: 353, rosak: 689 rosak) dan
Kota Marudu (majoriti: 842, rosak: 911).
Ada
faktor yang pelbagai menyumbang kepada pola pengundian undi rosak ini.
Ramai menamakannya sebagai protes dan tidak ingin mengundi calon lawan
bukan sahaja kerana berbeza ideologi politik tetapi pada masa sama
tidak mahu melihat mereka meraikan kemenangan. Mereka tidak puas hati
dengan pemilihan calon atau jentera parti dan ini diterjemah dalam
bentuk undian rosak, mungkin juga tidak puas hati dengan kerajaan pusat
atau negeri.
Parti-parti politik mesti
berhati-hati dengan kehadiran undi rosak yang terlampau. Impaknya besar
jika ia berpihak kepada calon lawan mereka sehingga membawa kepada
kejatuhan calon berwibawa atau kerajaan yang stabil gara-gara trend
mahukan perubahan atau pembaharuan. Jentera parti wajar cuba memahami
keperluan, kemahuan dan mindset kumpulan ini agar tidak menjejaskan
prestasi calon yang berkelayakan untuk berkhidmat kepada pengundi.-U/M
*PROFESOR DR. SIVAMURUGAN PANDIAN dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan