HALAMAN SANTAI

Rabu, 7 Jun 2017

Guna Akta MKN 2016, Kekang Gerakan Evangelis – Prof. Ridhuan Tee






Putrajaya: Gerakan Kristian Evangelis harus dikekang pihak berkuasa dengan menggunakan undang-undang sedia ada seperti Akta Majlis Keselamatan Negara 2016. Ini kerana gerakan tersebut amat berbahaya dan sangat agresif sama seperti Zionis yang mahu menguasai sesuatu tempat.

Sambil menegaskan bahawa orang-orang Islam tidak ada masalah dengan orang Kristian atau agama-agama lain, walau bagaimanapun Prof. Ridhuan Tee berpendapat gerakan Kristian Evangelis pula amat berbeza dan berbahaya.

“Kita tidak ada masalah dengan Kristian atau agama lain. Cuma Kristian Evangelis ini bahaya kerana mereka hendak menguasai tempat itu. Kita tengok di Indonesia berapa juta orang telah diKristiankan.”

Prof. Ridhuan Tee juga menegaskan bahawa sasaran seterusnya gerakan Kristian Evangelis ialah Tanah Melayu setelah berjaya di Indonesia.

“Sasaran terakhir di Kepulauan Melayu ini ialah Tanah Melayu, sebab itu jika dilihat ramai orang bukan Melayu telah diKristiankan, terutamanya orang-orang Cina sebab sasaran ialah untuk menjadikan mereka Kristian dan mereka akan menjadi Kristian yang lebih Kristian daripada mereka yang asal Kristian sendiri.”

Sambil menyatakan kekhuatiran terhadap anak-anak remaja Muslim yang tidak mempunyai asas agama yang kukuh bakal menjadi mangsa gerakan Evangelis Kristian.

“Kita harus bezakan Kristian dan golongan Kristian Evangelis yang sangat-sangat agresif, macam Zionis macam Yahudi. Kita sudah tidak ada masa untuk bersangka baik dengan golongan Kristian Evengelis ini lagi. Kita ada Akta MKN 2016 yang harus digunakan sepenuhnya untuk mengekang gerakan Kristian Evangelis. Kalau tidak ianya bakal menjadi ancaman kepada anak-anak muda kita yang masih lemah asasnya.”

Prof. Ridhuan Tee juga berpendapat bahawa buku Hannah Yeoh tidak ada masalah baginya, jika ianya semata-mata tentang seseorang menceritakan pengalaman peribadinya.

Tetapi disebabkan siapa sebenarnya Hannah Yeoh dan kedudukan Hannah Yeoh itu sendiri sebagai ahli politik dan Pastor jadi, ianya agak membimbangkan.

“Secara peribadi saya tidak ada masalah dengan sesiapa saja mahu berkongsi kisah hidup mereka.
Terus terang saya katakan saya tidak ada masalah dengan buku Hannah Yeoh tetapi kita tahu apa di sebalik gerakan evangelis itu. Ini yang bahaya dan harus dilihat sepenuhnya.”

Beliau juga menyarankan supaya kerajaan Negeri Selangor untuk mengkaji semula kedudukan Hannah Yeoh sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor.

“Untuk kerajaan negeri Selangor yang pemimpinnya orang Islam, mungkin mahu mengkaji semula kedudukan Hannah Yeoh sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor. Politik ini kena jaga kepentingan Islam dan bukan mendapatkan undi semata-mata.” – menara.my

Tiada ulasan: