shahbudindotcom
Sejak
dua tahun kebelakangan ini, bermula dengan pendedahan bertali arus
media antarabangsa mengenai skandal 1MDB dan kemudian diikuti dengan
tindakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat memfailkan saman sivil untuk
merampas pelbagai aset yang dikaitkan dengan wang yang dicuri daripada
syarikat pelaburan negara tersebut, serta-merta hubungan Malaysia
dengan kuasa besar dunia itu bertukar menjadi dingin dan "suam-suam
kuku".
Daripada
Najib Razak sebelumnya menjadikan Amerika sebagai negara paling kerap
dikunjunginya dan Rosmah Mansor pula suka membeli-belah di sana,
tiba-tiba negara itu mula dijauhi dan dibenci.
Sementara
Najib kemudian dengan rancak beralih kepada China, beberapa menteri,
pemimpin UMNO dan media pro kerajaan mula menyerang Amerika dan DOJ
melalui saman sivil itu yang dianggap suatu bentuk campurtangan asing
terhadap Malaysia.
Pelbagai
hujah diutarakan untuk mewajarkan tindakan DOJ itu sebagai campurtangan
asing, antaranya merujuk serangan Amerika di Iraq yang dikatakan hanya
berdasarkan andaian semata-mata wujudnya senjata kimia.
Lebih
dari itu, mereka juga mengatakan tindakan DOJ itu bukan saja dibuat
tanpa meminta kerjasama dengan Jabatan Peguam Negara, malah juga
dilakukan ketika 1MDB sendiri tidak pernah melaporkan kehilangan
wangnya.
Maka,
bertempiklah segala burung kakak tua, terutama yang disuapkan dedak ke
mulutnya untuk berkicau, dari ditujukan kepada telinga anak muda di kota
hinggalah kepada telinga tua makcik Felda, tentang Malaysia yang kini
kononnya sedang berada di ambang campurtangan asing Amerika serta
perlunya seluruh rakyat bersatu menghadapinya.
Tetapi,
dengan terdedahnya mengenai lawatan Najib ke Amerika pada 10 hingga 12
September depan yang antara tujuannya tidak saja untuk mengeratkan
hubungan dengan Presiden baru Amerika, Donald Trump tetapi juga
dikatakan untuk mengelakkan siasatan DOJ berkaitan 1MDB daripada
diteruskan, apakah isu campurtangan asing itu akan terus dimainkan?
Apakah Najib akan kembali rapat dan mendakap Amerika?
Bagaimana dengan China yang sudah melabur dan mencurahkan banyak wang ke negara kita?
Saman
sivil DOJ berkaitan 1MDB kini direhatkan buat seketika dengan jabatan
itu mahu menumpukan kepada siasatan jenayah berhubung wang yang dicuri
itu terlebih dahulu.
Meskipun
sehingga ini siasatan jenayah DOJ itu hanya menjurus kepada perbuatan
Jho Low dan beberapa rakannya, tetapi ia tidak dinafikan turut memberi
ancaman kepada masa depan Najib kerana DOJ juga mempunyai rekod mengenai
"Malaysian Official 1" yang didapati ada menerima AS$731 juta dan
"isteri Malaysian Official 1" diberikan hadiah barang kemas oleh Jho Low
berjumlah RM128 juta, kedua-duanya daripada sumber wang curi 1MDB.
Sama
ada hasrat untuk mengelakkan siasatan itu berjaya atau tidak, masih
terlalu awal untuk diramalkan. Namun Najib dan Trump mempunyai beberapa
persamaan untuk diteliti.
Kedua-duanya
adalah bilionnaire - satu melalui perniagaan usaha sendiri dan satu
lagi melalui derma. Trump dikenali sebagai bermulut celupar dan banyak
berdolak-dalik dalam kenyataannya, sama seperti Najib yang juga kerap
kali tidak mengotakan apa dikatanya seperti mahu menghapuskan Akta
Hasutan, tidak menaikkan harga minyak dan menyaman WSJ.
Jika
Trump dilabel bermulut celupar, dalam konteks budaya Melayu, perbuatan
Najib mengucapkan perkataan "haramjadah" dan "bangang" kepada kelompok
yang tidak digemarinya, juga menjadikan beliau boleh diletakkan
sekelambu dengan Presiden Amerika itu. Tidak pernah mana-mana Perdana
Menteri sebelum ini mengucapkan perkataan sedemikian secara terbuka
dalam ucapan umum.
Dalam
masa yang sama, Trump turut sedang disiasat oleh DOJ berhubung dakwaan
penyelewengan ketika kempen piliharaya yang lalu. Dengan sama-sama
disiasat, Trump dan Najib tentunya lebih mudah menjadi kawan yang lebih
rapat.
Dalam
konteks yang lain, kunjungan Najib ke Amerika juga adalah sebagai suatu
wayang opera untuk menunjukkan kepada pengundi Malaysia bahawa beliau
tidak bersalah serta tidak takut mengunjungi negara tersebut.
Tukang-tukang
kempen beliau selepas ini pasti akan menjaja cerita bahawa selain saman
atau siasatan DOJ tiada asasnya dan Najib tidak merupakan suspek untuk
ditangkap FBI di Amerika, yang lebih utama ialah dendangan perlunya
beliau terus dikekalkan lagi selepas pilihanraya akan datang nanti.
Media-media
Amerika tentu saja seronok menanti ketibaan Najib dan barangkali sudah
mula menyiapkan soalan berkaitan 1MDB untuk ditanyakan kepadanya.
Tentu
juga lebih meriah, jika dalam kunjungan kali ini, sebagaimana lawatan
ke beberapa negara lain sebelum ini, Najib turut membawa Riza Aziz
bersamanya Amerika.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan