SHAH ALAM – Usaha untuk merampas kembali Selangor daripada
pemerintahan Pakatan Harapan (PH) mesti dimulakan dengan memenangi
kerusi Parlimen Shah Alam pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan
datang.
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak berkata, parti Melayu itu
perlu menjadikan Selangor sebagai negeri UMNO dan Barisan Nasional agar
rakyat dapat menikmati pembangunan yang lebih pesat.
“Kali ini kita bangkit semula dengan kekuatan yang baharu, rebut
Shah Alam dan Selangor, tapi kita mesti ada mentaliti kemenangan, kita
ada banyak kelebihan untuk memenangi hati dan fikiran pengundi-pengundi
di Selangor.
“Kalau kita nak bangunkan Selangor, termasuk Shah Alam, perlu ada
kerajaan dari parti yang sama di peringkat pusat dan Selangor, di
Putrajaya dan Shah Alam, insya-Allah Selangor akan lebih pesat membangun
pada masa-masa akan datang,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat
Perwakilan UMNO Bahagian Shah Alam, di sini, hari ini.
Beliau berkata, UMNO dan BN tidak boleh menerima kekalahan kali
tiga di Selangor pada pilhan raya umum kerana pihaknya telah kehilangan
banyak kerusi dalam pilihan raya lalu pada 2008 dan 2013.
“Tan Sri Noh Omar sebut, kita tak boleh terima kalau kita cerai
talak tiga. Kali pertama kita kalah tinggal 20 kerusi, kali kedua 12
kerusi, jangan sampai tiga kali.
“Kita pun sudah merasai kepahitan jadi pembangkang, Hari ini kita
sudah insaf, dengan penuh rasa rendah diri kepada pengundi-pengundi,
kita nak menawarkan sebuah kerajaan lebih baik untuk rakyat Selangor,”
jelasnya.
Katanya lagi, beliau akan meminta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO
dan BN Selangor, Tan Sri Noh Omar untuk menyediakan manifesto pilihan
raya yang boleh dipercayai dan mampu dilaksanakan.
“Mudah-mudahan kita boleh menang dan kemenangan itu mesti bermula di Shah Alam,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan