KUALA TERENGGANU: Seramai 11 pelajar lagi ditahan reman berhubung kes
buli di sebuah kolej vokasional di Kuala Terengganu, menjadikan jumlah
keseluruhan pelajar yang direman 26 orang setakat ini.
Perintah reman selama tiga hari sehingga Sabtu terhadap 11 pelajar itu
dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Roszita Md Saad
di Kuala Terengganu hari ini bagi membolehkan mereka disiasat menurut
Seksyen 142 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Semalam, 15 pelajar direman sehingga Sabtu bagi membantu siasatan kes itu.
Kesemua pelajar terbabit dipercayai terlibat membuli tiga pelajar iaitu
dua pelajar tahun satu dan seorang tahun dua di kolej berkenaan dengan
kejadian terkini pagi hari Selasa.
Dalam kejadian 1.30 pagi Selasa, dua pelajar tahun satu yang berusia 16
tahun, mendakwa mengalami kecederaan di beberapa anggota badan setelah
dipukul oleh beberapa pelajar senior dengan seorang daripada mangsa kini
dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.
Satu lagi kes membabitkan pelajar tahun dua berusia 17 tahun yang
mendakwa dipukul oleh kumpulan pelajar yang sama ketika berada di surau
pada 9.30 malam sebelum dipukul sekali lagi di asrama kolej kira-kira
sejam kemudian dalam kejadian Isnin lalu.
Sementara itu Ketua Polis Terengganu Datuk Aidi Ismail berkata 11
pelajar terbabit yang kesemuanya berusia 17 tahun ditahan di rumah serta
di asrama semalam.
Beliau tidak menolak kemungkinan akan ada beberapa lagi tangkapan lain selepas ini.
"Sehingga hari ini seramai 26 orang telahpun ditahan, ” katanya ketika
ditemui pemberita di Terengganu International Endurance Park di Lembah
Bidong, Permaisuri, di Kuala Terengganu.
Beliau turut meminta pihak sekolah membuat laporan polis pada kadar
segera sekiranya berlaku insiden sedemikian di sekolah masing-masing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan