Oleh Athirah Hanapiah
PETALING JAYA: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri
Muhyiddin Yassin menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan
kekecohan keganasan yang berlaku semasa forum 'Nothing to Hide 2.0'
semalam adalah rancangan daripada parti itu.
Katanya, dakwaan sedemikian adalah satu perkara yang mengarut dan
tidak rasional kerana mustahil bagi PPBM merosakkan program yang
dianjurkan mereka sendiri.
"Tidak mungkin kita nak merancang buat kekecohan pada majlis kita
sendiri, orang yang mencadangkan perkara seperti itu mungkin tidak
rasional.
"Ini adalah majlis kita, kita nak jalankan ia dengan cara yang betul
dan baik, yang boleh memberikan peluang dan kesempatan kepada Tun
sendiri untuk menjelaskan
dan sebagainya," katanya pada sidang media selepas selesai mesyuarat jawatankuasa pilihanraya di ibu pejabatnya petang tadi.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi Gabungan NGO
Malaysia, Datuk Seri Jamal Yunos hari ini yang mendakwa kekecohan
keganasan pada program semalam didalangi pimpinan tertinggi PPBM.
Menurut Jamal, beliau bahkan mempunyai bukti insiden tersebut telah
dirancang lebih awal lagi daripada kalangan ahli parti itu, namun enggan
mendedahkan bukti yang diperkatakannya.
Mengulas lanjut, mantan timbalan perdana menteri itu turut melahirkan
rasa kesal dengan insiden yang berlaku, dan menyifatkan individu yang
terlibat sebagai biadap.
Justeru itu, beliau mahukan satu siasatan daripada pihak berkuasa
dijalankan bagi mengenal pasti dalang disebalik insiden itu, dan mahu
tindakan undang-undang diambil dengan sewajarnya.
"Saya meluahkan rasa kecewa tentang apa yang telah pun berlaku, satu
perkara yang menunjukkan sifat tidak bertoleransi dan tidak menghormati
suatu majlis seperti itu yang penting untuk memberikan penjelasan
tentang hal ehwal negara.
"Kita minta supaya pihak berkuasa polis berdasarkan laporan yang telah
dikemukakan oleh pihak Armada untuk mengambil tindakan-tindakan yang
sewajarnya," ujarnya.
Semalam, Forum 'Nothing to Hide 2.0' anjuran Armada PPBM bertukar
kecoh ketika Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad, menjawab soalan
berhubung tragedi Memali yang berlaku pada 1985.
Ekoran itu, terdapat dakwaan kononnya insiden itu telah dirancang
lebih awal dan dilakukan oleh pihak yang mahu merosakkan program
berkenaan dengan sengaja.
Dalam pada itu, pada sidang media yang sama, Muhyiddin mengumumkan
beberapa pembaharuan yang dibuat Pakatan Harapan (PH) sebagai persediaan
menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
Antaranya, penubuhan seketariat PH dan pegawai-pegawai sepenuh masa
yang dilantik daripada kalangan semua parti, menubuhkan satu bilik
operasi sepenuh masa bagi mengemaskini data dan maklumat berkaitan
persediaan PRU, dan memutuskan untuk memberi tumpuan khusus kepada
kawasan-kawasan pilihan raya tertentu.
Beliau bagaimanapun enggan mengumumkan kawasan yang dimaksudkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan