Pemangku timbalan presiden Umno berkata keputusan
melucutkan keahlian seseorang hanya boleh diputuskan oleh majlis
tertinggi parti.
GEORGE TOWN: Pemangku Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein membidas cubaan memecat Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man sebagai ahli parti, mengatakan ia tidak wajar berlaku.
Hishammuddin berkata keputusan melucutkan keahlian seseorang perlu dibawa ke lembaga disiplin parti dan akan diputuskan oleh majlis tertinggi, kerana ketua Umno negeri tiada kuasa berbuat demikian.
Beliau juga berkata Umno harus menghormati keputusan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, melantik Azlan sebagai menteri besar.
“Saya pasti penerimaan Raja Perlis di dalam majlis mengangkat sumpah menteri besar semalam, semestinya telah mengambil pertimbangan yang sebaiknya untuk rakyat di Perlis.
“Dalam keadaan Umno yang masih dalam proses pemulihan, rakyat sedang memerhati dan menilai setiap tindakan kita. Rakyat telah memberikan mandat kepada Barisan Nasional untuk memimpin di Perlis dan kepercayaan ini harus dilaksana dengan penuh amanah.
“Seharusnya perkara seperti ini tidak boleh berlaku. Setiap dari pemimpin Umno harus berjiwa besar dan menampilkan kepimpinan yang terbaik untuk memenangi dan meyakinkan hati rakyat,” katanya di Facebook semalam.
Azlan mengangkat sumpah sebagai menteri besar di depan Tuanku Syed Sirajuddin di Istana Arau
kelmarin tanpa kehadiran 9 Adun Umno yang berlepas ke Kuala Lumpur pada malam sebelumnya.
Boikot “BN 9” itu mengundang kemarahan Raja Perlis kerana undangan diberikan kepada mereka 3 hari sebelum hari majlis.
Pengerusi Umno Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim pada sidang media di ibu negara kelmarin mengumumkan Azlan akan dipecat.
Shahidan dilapor meminta Raja Perlis tidak mencampuri urusan pentadbiran negeri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan