HALAMAN SANTAI

Jumaat, 25 Mei 2018

Semalam jet, hari ini Anwar naik pesawat biasa

MALAYSIAKINI


   

Selepas dipertikaikan menggunakan jet kerajaan, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menaiki pesawat komersial biasa ke Pulau Pinang.

Ketua umum Pakatan Harapan itu berbuat demikian kerana ia bukan urusan rasmi.

“Pagi ini menaiki pesawat komersial biasa dari Subang ke Pulau Pinang. Tidak ada pesawat khas.

“Beza antara tugas rasmi iringi TPM, dan tugas rasmi peribadi,” tulisnya di Instagram.

Anwar dan isterinya, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan keluarga semalam tiba di Kelantan dengan jet kerajaan bagi mengadap bonda Yang di-Pertuan Agong, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid di Kota Bharu.

Ia merupakan lawatan sulung Wan Azizah ke Kelantan selepas mengangkat sumpah sebagai timbalan perdana menteri, Isnin lalu.

Malaysiakini difahamkan kunjungan itu juga bagi mempersembahkan ucapan terima kasih Anwar kepada Istana Kelantan susulan pengampunan diraja yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, baru-baru.

Terdapat pengguna Internet mempertikaikan penggunaan jet kerajaan itu.

Sementara itu, Anwar, berbaju Melayu biru muda dan bersamping, menaiki pesawat di lapangan terbang Subang.

Beliau juga kelihatan bersalam dengan kakitangan lapangan terbang sebelum mengambil penerbangan tambang murah itu.

Gambar-gambar itu dimuat naik ke Instragam rasminya.


Tiada ulasan: