Naib Presiden Parti Warisan Junz Wong berkata
pengerusi BN Sabah itu tidak sepatutnya bimbang dengan laporan polis
yang dibuat Juhar Mahiruddin.
Wong berkata Musa tidak sepatutnya bimbang untuk membantu polis dalam siasatan terhadap laporan polis dibuat Juhar, dan bukannya melalui peguamnya yang memberikan kenyataan media berhubung perkara tersebut.
“Kenyataan dibuat peguamnya (Musa) bersifat kecenderungan diri sendiri dan berat sebelah. Peguam berkenaan akan sedaya upaya mencuba untuk mengelirukan orang ramai.
“Ia untuk mahkamah memutuskan, dan bukannya Musa Aman, peguamnya atau sesiapa sahaja – dan untuk melepaskannya (Musa) daripada apa-apa tuduhan yang dibuat terhadapnya,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Wong yang juga menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, berkata Yang Dipertua Negeri Sabah itu, sebagai personaliti yang sangat dihormati, tidak akan membuat laporan polis jika tidak merasakan ada ancaman sedemikian.
Pada 19 Mei lepas, Juhar membuat laporan polis terhadap pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu yang dipercayai ada kaitan tentang intimidasi jenayah terhadap beliau.
Ketika mengesahkan laporan itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din, bagaimanapun enggan mendedahkan butiran laporan tersebut.
Semalam peguam Musa, Zahir Shah mengeluarkan kenyataan bahawa anak guamnya itu menafikan semua dakwaan terhadapnya tentang intimidasi jenayah terhadap Juhar atau mana-mana orang lain.
Laporan polis itu dibuat 2 hari selepas Musa memfailkan writ saman di Mahkamah Tinggi terhadap Juhar dan Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bagi memohon pengisytiharan bahawa beliau kekal sebagai ketua menteri Sabah yang sah.
Musa mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Sabah di hadapan Juhar pada 10 Mei, selepas memperoleh majoriti mudah 31 daripada 60 kerusi pada pilihan raya umum ke-14, apabila 2 wakil rakyat pembangkang mengisytiharkan sokongan kepada BN Sabah, yang memenangi 29 kerusi.
Bagaimanapun 2 hari kemudian, Shafie mengangkat sumpah sebagai ketua menteri apabila mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan selepas beberapa Adun BN beralih sokongan kepada Warisan dan gabungan Pakatan Harapan, yang juga memenangi 29 kerusi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan