HALAMAN SANTAI

Ahad, 23 Disember 2018

Potret diturunkan atas kehendak Zahid - Sumber

 
   

Keputusan untuk menurunkan potret Dr Ahmad Zahid Hamidi di bilik mesyuarat utama ibu pejabat parti itu dibuat mengikut kehendak Presiden Umno itu sendiri.

Menurut sumber yang dekat dengan Umno, perkara itu tidak menjadi isu kerana ia bukan membabitkan arahan timbalanp presiden parti itu Mohamad Hasan yang kini menjalankan tugas presiden.

Malah katanya, berkemungkinan besar potret pemimpin Umno tidak lagi akan digantung di sudut berkenaan kerana ia mungkin akan digantikan dengan logo parti.

"Potret itu diturunkan atas kehendak presiden sendiri, jadi ia tidak ada apa-apa isu.

"Tidak tahu sama ada akan digantikan dengan gambar siapa, namun ada kemungkinan logo Umno pula akan diletakkan di situ.

"Jika berlaku ia satu pembaharuan. Pemimpin parti silih berganti, tetapi Umno tetap kekal di situ," katanya kepada Malaysiakini.

Semalam Malaysiakini melaporkan gambar Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi (MT) Umno yang dipengerusikan Mohamad menyaksikan gambar presiden Umno itu diturunkan tular di laman media sosial.

Gambar yang tular itu menunjukkan perbandingan gambar mesyuarat MT yang sebelumnya dipengerusikan oleh Ahmad Zahid dengan potretnya masih berada di dinding.

Malaysiakini juga memetik sumber melaporkan Ahmad Zahid dikatakan sudah mengosongkan pejabatnya di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur sebaik mengumumkan penyerahan tugas presiden kepada Mohamad.

Sumber memberitahu keputusan tersebut dibuat Ahmad Zahid atas kerelaannya tanpa tekanan daripada mana-mana pihak.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada pejabat itu dikosongkan terus ataupun untuk beberapa tempoh yang ditetapkan sepanjang Mohamad menjalankan tugas presiden.


Tiada ulasan: