KUALA LUMPUR – UMNO Sabah memberi jaminan akan bangkit kembali di bawah kepimpinan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan.
UMNO di negeri di bawah bayu itu yakin akan kembali kukuh menerusi kuasa autonomi yang diberikan, kata Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Raime Unggi.
“Saya juga yakin usaha yang lebih sistematik dan efektif dapat dilaksanakan dengan adanya kuasa autonomi penuh kepada UMNO Sabah. Moga penurunan kuasa autonomi itu turut memperkuatkan perjuangan UMNO Sabah terutama dalam soal menuntut hak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Insyallah UMNO Sabah pasti bangkit di atas kepercayaan UMNO Pusat, kerana akar umbi perlukan kepimpinan yang padu di peringkat atasan untuk memacu hala tuju yang lebih jelas,” katanya menerusi kenyataan media.
Pendekatan yang akan dilaksanakan oleh Mohamad selaku penyandang jawatan Presiden itu tambah beliau akan memberikan sinar kepada akar umbi khususnya demi mendepani cabaran dalam arena politik.
“UMNO Sabah melahirkan harapan besar di bawah kepimpinan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menjalankan tugas-tugas Presiden untuk memastikan parti keramat ini terus menjadi jurucakap suara rakyat, khususnya kepada Bumiputera di Sabah.
“UMNO Sabah yakin beberapa pendekatan yang dimaklumkan oleh Timbalan Presiden UMNO memberi manfaat yang terbaik kepada ahli-ahli akar umbi bagi mendepani situasi politik yang semakin mencabar.
“Ini termasuk soal memperkasakan parti yang mana akan ada satu jawatankuasa yang dibuat oleh Naib-naib Presiden yang melihat keperluan memberi kuasa yang lebih banyak kepada negeri dalam meningkatkan strategi politik terutama memenangi PRU15,” tambahnya
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang kini berdepan 11 pertuduhan pecah amanah, 27 pengubahan wang haram dan 8 pertuduhan rasuah beberapa hari yang lalu umum bercuti dari tugas-tugas presiden.
Tugasnya bakal digalas oleh Mohamad Hassan berkuat kuasa serta merta.-MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan