HALAMAN SANTAI

Isnin, 24 Disember 2018

Lim: Dakwaan Najib isu cukai petrol RM120 juta seminggu fitnah

MALAYSIAKINI


   
Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini menyifatkan kenyataan bekas perdana menteri Najib Razak yang mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengutip cukai jualan petrol RON95 sebanyak RM120 juta seminggu sebagai palsu.

Katanya, dakwaan bahawa kerajaan mengenakan cukai jualan 30 sen seliter ke atas petrol sejak Nov lalu adalah dakawaan yang tidak benar.

"Fitnah beliau adalah sama dengan dakwaan sebelum ini bahwa 1MDB menguntungkan Malaysia apabila satu dunia tahu bahawa 1MDB ialah skandal rasuah terbesar dalam sejarah yang membebankan Malaysia dengan hutang kerajaan persekutuan lebih RM1 trilion.

“Atau (sama juga dengan) dakwaan beliau bahawa masalah bayaran balik cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak RM19.4 bilion sejak 31 Mei 2018 tidak wujud sungguhpun sejak 2015, lebih 121,429 individu syarikat belum mendapat bayaran balik termasuk Shell,” katanya.

Pada 22 Dis lalu, Najib melalui kenyataan di Facebook mendakwa, berdasarkan harga brent semasa iaitu pada sekitar AS$52 setong, sepatutnya RON95 dijual antara RM1.90 sehingga RM2.00 sejak sebulan lalu berbanding harga sekarang RM2.20.

Menurut Najib, ini bermakna kerajaan PH telah mengutip cukai sebanyak RM120 juta daripada penjualan RON95 setiap minggu daripada rakyat.

Untuk rekod, selepas PH mengambil alih pentadbiran pada pilihan raya umum lalu, pengiraan harga minyak mingguan ditukar kepada bulanan.

Semalam, bekas naib presiden PKR, Rafizi Ramli menggesa kerajaan menggunakan formula mingguan semula bagi menyemak harga petrol agar harga RON95 turun sebanyak 20 sen seiring dengan kejatuhan harga minyak dunia.

Katanya, berdasarkan formula secara bulanan yang diguna pakai ketika ini, kiraan akan menunjukkan harga RON95 mengikut Automatic Pricing Mechanism (APM) masih lagi tinggi daripada RM2.20 seliter.

Sementara itu, Lim dalam kenyataannya hari ini menambah, kerajaan akan mula melaksanakan pemberian subsidi petrol RON95 secara bersasar untuk golongan yang layak seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2019.

Pemberian subsidi tersebut adalah ekoran kenaikan harga minyak melebihi RM2.20 seliter untuk RON95 dan RM2.18 untuk diesel.

“Bagi golongan bukan sasar, harga runcit petrol RON95 akan diapungkan secara terkawal bagi mengurangkan tanggungan subsidi kerajaan.

"Ini selaras dengan hasrat pemberian subsidi yang sepatutnya memanfaatkan golongan sasar sahaja khususnya mereka yang berpendapatan rendah,” katanya lagi.


Tiada ulasan: