HALAMAN SANTAI

Sabtu, 2 Februari 2019

BIMBANG YADIM DIRESAPI SEKULARISME

Wartawan Watan-Online

PAS Kedah bimbang Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) akan mengangkat ideologi sekularisme yang memisahkan agama daripada kehidupan berikutan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh dari DAP, Sheikh Omar Ali sebagai ahli lembaga amanah badan tersebut.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr. Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi berkata ini berikutan Sheikh Omar sebagai ahli DAP tentu terikat dengan dasar perjuangan parti itu yang mengutamakan ideologi sekular sehingga menimbulkan banyak kes gugatan terhadap Islam seperti sebelum ini.

Beliau berkata tidak mustahil YADIM akan berkembang menjadi alat propaganda dalam menyebarkan faham Islam Liberal sekiranya ideologi sekular berjaya dijadikan tulang belakang lembaga itu.

“Apa yang menjadi kebimbangan kepada umat Islam di negara ini ialah sekiranya pertubuhan berkenaan menjadi batu tangga atau alat propaganda penyebaran fahaman itu.

“Akhirnya ia akan memecahkan kesatuan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam yang selama ini mendokong penyatuan ummah Islamiyyah,” katanya kepada media pada Khamis.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga portfolio agama, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa memberi watikah pelantikan kepada Sheikh Omar Ali termasuk sembilan lagi yang merupakan wakil rakyat serta berjawatan dalam PPBM, PKR dan PAN.

Pelantikan tersebut dikecam banyak pihak berikutan melihat YADIM kini dikuasai oleh individu berkepentingan dalam politik.

Mengulas lanjut, Ahmad Fakhruddin berkata pelantikan wakil DAP itu menimbulkan lebih banyak persepsi negatif berbanding positif dalam kalangan masyarakat Islam.

“Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yadim sepatutnya bebas daripada pengaruh politik kerana fungsi pertubuhan berkenaan adalah menyelaraskan badan dakwah yang berkomunikasi dengan semua pihak,” katanya.

Pelantikan itu juga didakwa akan mengakibatkan penghakisan secara bertahap keyakinan umat Islam terhadap peranan yang dimainkan YADIM dalam lapangan dakwah.


Tiada ulasan: