Kritikan Penasihat Media Perdana Menteri, Datuk A. Kadir Jasin terhadap menteri kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH) dilakukan secara jujur tanpa prejudis, ujar Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil.
Katanya kritikan tersebut merupakan manifestasi terhadap keadaan rakyat yang semakin kecewa dengan kegagalan demi kegagalan kerajaan PH.
“Rakyat sebenarnya sudah semakin kecewa dengan Kerajaan PH termasuklah mereka yang berjuang bermati-matian selama ini bagi memenangkan parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) lalu,” katanya kepada media pada Khamis.
Mengulas lanjut, Khairul Faizi berkata walaupun Kadir Jasin tidak menyebutkan secara spesifik, namun jelas dapat dilihat betapa ramainya menteri yang termasuk di dalam klasifikasi berprestasi buruk.
“Selain janji tidak ditunaikan, beliau juga memberi contoh sikap Menteri yang sudah berubah jauh ketika menjadi pembangkang sebelum ini.
“Apabila sudah menjadi kerajaan, mereka amalkan birokrasi, menjauhkan diri dan tidak mesra dengan rakyat malahan bergaduh dengan penyokong sendiri.
“Saya melihat bahawa prestasi buruk ini bukan perkara rahsia lagi, tetapi ia merupakan sesuatu yang sudah tidak dapat dibendung,” katanya.
Terdahulu, Kadir Jasin dalam blognya menulis akan bahaya yang dihidu kepada PH yang masih tidak menunjukkan prestasi baik, mula berubah menjauhi rakyat dan mula menunjukkan kerenah birokrasi yang tidak digemari rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan