HALAMAN SANTAI

Jumaat, 1 Februari 2019

Isu diskaun saman: Menteri Pengangkutan bincang dengan PDRM

THE MALAYSIAN TIMES



KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook akan mengadakan pertemuan bersama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi mencari titik penyelesaian berhubung isu diskaun saman trafik.

Loke berkata perbincangan itu akan diadakan selepas sambutan Tahun Baharu Cina.

“Tak mengapalah. Dia (PDRM) tidak kata tak setuju. Lepas Tahun Baharu Cina ini kita bincang,” katanya pada sidang media selepas mengedarkan pek cenderahati kepada 1,000 penumpang tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sempena Tahun Baharu Cina, hari ini.

Loke mengulas mengenai kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias yang dilaporkan berkata PDRM tidak dapat mengumpul hasil saman sekiranya kerajaan menamatkan diskaun saman berikutan tidak ramai orang yang berminat membayarnya.

Selasa lepas, Loke mencadangkan tiada sebarang tawaran diskaun akan diberikan ke atas mana-mana notis kompaun yang dikeluarkan JPJ bagi kesalahan lalu lintas.

Loke juga bercadang untuk berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya saman trafik dan saman dikeluarkan PBT tidak menawarkan sebarang diskaun.–Bernama

Tiada ulasan: