HALAMAN SANTAI

Selasa, 12 Februari 2019

Jangan Jadikan Masjid Sebagai Medan Berpolitik

Oleh Mukhriz  Mahathir


 
Kita harus mempromosikan masjid sebagai wadah penyatuan umat Islam serta menghidupkan kembali peranan masjid dengan segala bentuk aktiviti keagamaan dan sebagainya.

Untuk merealisasikan matlamat ini, saya mengingatkan diri saya dan Tuan-Tuan Imam, agar menghormati perbezaan pendapat termasuklah perbezaan politik.

Dan tidak seharusnya perbezaan ini dibawa masuk ke dalam Masjid. Saya sangat mengharapkan agar institusi masjid tidak disalahgunakan untuk kepentingan diri sendiri dan pihak tertentu. Lebih dikesali bilamana ceramah, kononnya dakwah, diisi dengan cemuhan dan cercaan terhadap pihak tertentu.

Tidak sesuai langsung ruang-ruang ibadah, di tempat yang suci, dicemari dengan kata-kata dan tindakan yang bercanggah dengan ajaran Islam.

Kita semua tentunya faham perbezaan antara dakwah dan ceramah politik. Dakwah mempunyai nilai keilmuan, manakala ceramah politik pula bertujuan untuk mempengaruhi pendengar terhadap sesuatu ideologi atau pemikiran kepartian. Walaupun ianya disulami dengan sirah dan hadith, ia tetap ceramah politik yang tidak bertujuan untuk berdakwah.

Jika mana-mana pihak ada masalah yang perlu diselesaikan oleh Kerajaan, saluran yang betul perlu digunakan untuk menyampaikan aduan itu kepada pihak berkuasa. Apa tujuannya menyampaikan aduan itu atau mengkritik Kerajaan secara umum di dalam ceramah atau kuliah masjid jika bukan untuk meraih sokongan politik?

Oleh itu, sekali lagi saya berpesan, janganlah kita mencemari kesucian masjid dengan unsur-unsur politik kepartian itu. Gunakanlah masjid sebagai medan penyatuan Ummah sepertimana yang dituntut oleh Rasulullah SAW.

Inilah yang selalu dipesankan kepada kita oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah. Telah beberapa kali Baginda Tuanku bertitah, melarang masjid dijadikan medan berpolitik, melainkan berfungsi sebagai pusat ibadah dan lambang kepada syiar Islam serta tempat penyatuan ummah.

Begitu banyak lagi masalah masyarakat dan ummah yang wajar dibincangkan di masjid, umpamanya masalah sosial, gejala dadah, judi, hubungan luar nikah dan sebagainya, yang jauh lebih penting dari politik.

Saya amat berharap kita semua menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Tuanku Sultan. Atas perkenan Baginda jualah Tuan-tuan dilantik sebagai Imam di negeri ini.

Begitulah juga ahli-ahli parti politik, sama ada di pihak kerajaan mahupun pembangkang, semestinya mentaati perintah Duli Tuanku dan menghormati institusi masjid dengan tidak menjadikannya gelanggang politik sehingga boleh memecahbelahkan perpaduan masyarakat.

(Petikan ucapan YAB Dato' Seri Hj Mukhriz Tun Dr. Mahathir dalam program Ijtimak Imam-Imam Masjid Negeri Kedah) 
 
 

Tiada ulasan: