DENYUT REFORMASI
KUALA LUMPUR : Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Muhammad Faiz Fadzil
menyangkal kenyataan Naib Presiden parti itu , Hasanuddin Mohd Yunus
yang menyifatkan pemasangan kamera AES dan saman jalan raya oleh
kerajaan terdahulu menepati prinsip maqasid syariah.
Tegas Faiz yang juga Timbalan Pengerusi Sekretariat Protes AES
(ProtAES), pelaksaan AES tidak menepati prinsip maqasid syariah jika
pelaksanaannya menekan hidup rakyat dan meningkatkan kadar keperitan
hidup rakyat.
"Maqasid syariah bukan sahaja berpremiskan elemen nyawa tetapi juga harta," katanya.
"Pelaksanaan AES ini mempunyai kesan ke atas kos sara hidup. Rakyat
masih bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi dan kerajaan pula
sedang berusaha keras mengurangkannya, namun pelaksanaan AES ini
bertentangan dengan perkara ini," jelas Faiz yang juga ADUN Permatang
Pasir.
Katanya secara alternatif kepada saman atau kompaun, pemandu yang
melakukan kesalahan pertama boleh diberikan amaran dan beliau cadangkan
kerajaan boleh mewajibkan pemandu yang mempunyai kesalahan berulang
untuk menghadiri kelas pendidikan keselamatan pemanduan atau dikenakan
kompaun.
Ini berbanding apa hukuman yang diamalkan kerajaan ketika ini, iaitu
mengenakan kompaun tanpa diskaun, serta pemotongan mata demerit di bawah
sistem Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) sebagai hukuman
kedua bagi kesalahan yang sama.
"Pelaksanaan dua kali hukuman bagi satu kesalahan yang sama melanggar
prinsip ‘double jeopardy’ iaitu mengenakan dua hukuman bagi satu
kesalahan.
"Hukuman ini pasti membebankan pengguna jalan raya yang bergantung
kepada penggunaan kenderaan sendiri dan kesan kehilangan pendapatan bagi
pemandu kenderaan awam termasuk pemandu teksi, bas dan lori," katanya.
Beliau juga mempertikaikan keberkesanan AES dalam mengurangkan kadar
kemalangan jalan raya kerana tiada data yang menyokong dakwaan
berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan