HALAMAN SANTAI

Selasa, 12 Februari 2019

KELUAR PARTI : UMNO TETAP SAMAN – ANNUAR


Bekas ahli parlimen dan Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Sabah yang bertindak keluar parti walaupun bertanding atas tiket Barisan Nasional dalam PRU Ke-14 lalu akan menerima saman daripada parti.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata tindakan undang-undang itu akan diambil terhadap anggota Parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bertanding dalam PRU lalu.

“Tindakan undang-undang itu diambil bukan untuk menghalang keputusan mereka untuk keluar meninggalkan parti kerana itu adalah keputusan dan hak masing-masing.

“Ini bukan soal mereka melompat parti tetapi mereka ada kontrak, menerima dana daripada parti, bantuan tertentu daripada parti untuk mendukung amanah parti termasuk menggunakan lambang parti dengan tandatangan presiden,” katanya pada sidang media selepas majlis perjumpaan bersama anggota UMNO pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau berkata tindakan tersebut telah mendapat persetujuan daripada Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

Walaubagaimanapun, jelas beliau proses untuk mengemukakan saman itu akan memakan masa kerana perlu melalui beberapa proses termasuk penyediaan dokumen dan lantikan peguam.

“Beberapa orang telah disaman, yang lain-lain belum lagi bukan bermakna yang belum itu mereka tidak disaman, MT akan buat keputusan dari semasa ke semasa.

“Jika mereka ‘rujuk’ semula, itu adalah isu yang berlainan, saman tetap ‘jalan terus,” katanya.


Tiada ulasan: