Menurutnya, peristiwa itu berlaku pada tahun 1998 ketika beliau menjadi Ketua Pemuda UMNO manakala Haron sebagai Ketua Penerangan Pas.

Katanya, pertemuan tersebut bertujuan untuk mendapatkan pandangan ulama itu sama ada perlu kekal dalam UMNO atau menyertai Pas kerana ketika itu beliau di­pinggirkan oleh parti.

“Ketika itu rakan-rakan da­lam Pas pula ajak sertai mereka tetapi hati saya tebal kepada UMNO, walaupun sudah buat istikharah, saya masih ragu-ragu.

“Saya menjangkakan beliau (Haron) akan mencadangkan saya sertai Pas tetapi tidak, sebalikya beliau mahu saya terus bersama dalam UMNO kerana nanti apabila tiba waktunya Pas dan UMNO bergabung dalam bentuk pemikiran, maka saya ada pada ketika itu. Saya anggap itu sebagai wasiat dan saya pegang sehingga kini,” katanya.

Ahmad Zahid berkata de­mikian dalam program Wacana Kepimpinan Kerjasama UMNO dan Pas Bagan Datuk, Sejauh Mana? yang turut disertai Yang Dipertua Pas Kawasan Bagan Datuk, Misbahul Munir Masduki di Dewan Utama Kompleks UMNO Bagan Datuk di sini semalam.

Ahmad Zahid yang juga Ketua UMNO bahagian berkata, sebenarnya sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lagi ada rundingan untuk kerjasama Pas dan UMNO tetapi Pas membuat keputusan untuk bersendirian.

Menurutnya, beliau melihat kekalahan BN pada PRU-14 disebabkan pertandingan tiga penjuru dan mengakui kesilapan itu disebabkan gagal membuat keputusan muktamad kerja­sama antara kedua-dua parti.

“Ketika itu perbincangan mengenai kerjasama UMNO-Pas gagal dimeterai kerana rundi­ngan hanya melibatkan kepemimpinan peringkat atasan kedua-dua parti tetapi tidak dalam kalangan kepemimpinan peringkat negeri dan kawasan.

“Kini pemimpin UMNO dan Pas benar-benar ikhlas bekerjasama demi Islam, Melayu dan negara,” katanya.-U/M