HALAMAN SANTAI

Rabu, 13 Februari 2019

Malaysia Baru mula keliru dengan 7 ahli Parlimen masuk PPBM?




Selepas semua kekecohan dan penafian demi penafian, akhirnya PPBM “mengotakan” janjinya dengan menerima 7 ahli Parlimen Umno menjadi ahlinya. Dengan itu, PPBM kini mempunyai 22 ahli Parlimen berbanding 14 orang sebelumnya dan Pakatan Harapan (PH) semakin hampir mencapai majoriti 2/3 di Dewan Rakyat.

Banyak persoalan bermain di minda rakyat, terutamanya mereka yang menyokong dan memenangkan PH dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu. Tentunya mereka semua mengharapkan Malaysia Baru menjadi kenyataan dan hidup mereka bertambah baik, lebih baik daripada zaman pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Kenapa baru sekarang diterima ahli Parlimen Umno itu? Apakah mereka sudah ditapis seperti digembar-gemburkan sebelum ini? Apakah mereka ini menepati syarat seperti dinyatakan pengerusi dan presiden PPBM?

Semua itu menjadi tanda tanya. Adakah mereka ini tidak akan menimbulkan masalah dalam PPBM, lebih-lebih lagi dalam PH? Atau mereka sebenarnya akan digunakan untuk menimbulkan masalah dalam PH?

Siapa tidak kenal Datuk Seri Hamzah Zainudin yang celopar dan bermasalah serta Datuk Shabudin Yahaya yang penuh kontroversi itu? Takkan kita tidak tahu mereka kaki bodek Najib dan beria-ia mempertahankannya, seolah-olah Najib malaikat?

Betul kita tidak boleh menilai sejarah silam seseorang 100%, apatah lagi apabila mereka berubah. Apakah Hamzah dan Shabudin benar-benar berubah? Apakah perkara yang dilakukan untuk membuktikan mereka sudah insaf dan berubah?

Persoalan inilah yang memberi gambaran seolah-olah PH dan Malaysia Baru sudah hilang plot dan skripnya. Ada yang mula membayangkan harimau sudah menunjukkan belangnya.

Apakah kemasukan ahli Parlimen Umno ke PPBM untuk menguatkan parti itu menjadi kuasa tawar-menawar dalam PH dan kemudiannya menjadi seperti Umno, sangat dominan dan membuli parti lain dalam PH?

Apakah penghijrahan ahli Parlimen Umno itu akan menyebabkan PH menguasai majoriti 2/3 di Parlimen dan membolehkan Tun Dr Mahathir Mohamad serta PH menggubal undang-undang mengikut kehendak mereka sewenang-wenangnya?

Maka akan berulang sejarah Malaysia 1.0 dan BN 1.0.

Apakah jembalang-jembalang Umno itu akan digunakan untuk melakukan konspirasi bagi memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menjadi perdana menteri ke-8?

Seperti kekecohan yang baru kita saksikan, tidak mustahil andaian di atas menjadi karya agung pakar taktik itu. Mari kita saksikan bersama.

*Yunus Tasim ialah pembaca FMT.

Tiada ulasan: