HALAMAN SANTAI

Rabu, 13 Februari 2019

5 tanda isteri anda tidak cukup tidur

FMT Reporters



Apabila membabitkan tugasan menguruskan anak dan rumah tangga, ia pasti akan berakhir di tangan seorang wanita seolah lelaki tidak kena-mengena dengan tanggungjawab tersebut.
 
Tidak kira wanita itu seorang suri rumah sepenuh masa atau ibu bekerja, jika mereka keseorangan dalam urusan rumahtangga sehingga tiada masa untuk diri sendiri termasuk waktu tidur yang secukupnya, maka bersedialah untuk berdepan beberapa isu.

Dalam keadaan ini, mereka mungkin letih, bukan sahaja secara fizikal malah mental dan semua ini pasti akan memberi kesan kepada perhubungan sosial terhadap seluruh ahli keluarga.

Oleh itu, suami dan isteri haruslah saling bertolak ansur, membahagikan tugas secara saksama dan beri peluang untuk pasangan berehat.

Menurut seorang doktor yang sentiasa berkongsi tip keibubapaan dan kekeluargaan, Dr Taufiq Razif, sekiranya isteri tidak mendapat tidur yang mencukupi mereka cenderung kelihatan letih, kurang berseri dan berdepan masalah berat badan naik.

Ekoran itu, beliau berkongsi 5 tanda isteri tidak cukup tidur yang mana boleh digunakan oleh para suami sebagai peringatan serta bertindak demi kebaikan isteri.

1. Seseorang yang tidak cukup tidur akan berdepan masalah kekurangan imun. Jadi, jika si isteri sakit dan lambat sembuh, ia indikasi sistem imun dan respon tubuh untuk melawan kuman lemah yang berpunca daripada kekurangan tidur.

2. Adakah isteri anda sering terlupa, hilang fokus? Menurut Dr Taufiq ia juga akibat daripada kurang tidur yang memberi kesan kepada memori jangka panjang dan memori jangka pendek. Perkara ini akan menghalang kreativiti dan konsertasi mereka.

Ia juga antara sebab anda mendapatinya asyik berpakaian selekeh, kurang berhias dan lesu. Bukan kerana tidak pandai, sebaliknya otak mereka sudah kosong dan sukar untuk fokus.

3. Seorang suami selalu mengeluh dengan perangai isteri yang suka tidur lebih pada waktu siang tetapi tetap menguap dan kelihatan lesu sepanjang masa. Pandai-pandailah membaca bahasa badan pasangan anda dan beri mereka “masa berehat”.

4. Kekurangan tidur juga boleh membahayakan sehingga terdedah kepada pelbagai penyakit termasuk tekanan, depresi, gangguan bipolar dan sebagainya. Dr Taufiq berkata, isteri yang selalu melenting dan mudah marah (irritability & anger), ketahanan pada “stress” yang terhad berlaku apabila tidak cukup tidur.

5. Isteri yang kurang tidur juga mengalami masalah berat badan. Ini bukan kerana mereka pemalas, tetapi hormon seperti ‘Leptin’ dan ‘Ghrelin’ yang tidak stabil menyebabkan mereka selalu lapar dan susah kenyang. Ia juga berlaku ekoran masalah kekurangan tidur.

Tiada ulasan: