HALAMAN SANTAI

Rabu, 13 Februari 2019

Menteri sahkan SPRM rakam keterangan pegawai DBKL

MALAYSIAKINI

   

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad mengesahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merakam keterangan beberapa pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung senarai syarikat yang telah bocor membabitkan kontrak pembersihan sungai di bandaraya itu.

Tindakan dalaman telah diambil dan Datuk Bandar KL juga mengarahkan 20 kakitangan di bahagian perolehan DBKL dipindahkan ke jabatan lain dalam tempoh sebulan, katanya, seperti dilapor Bernama.

Ini susulan dakwaan penulis blog, Zaharin Mohd Yasin bahawa menteri wilayah persekutuan tidak dapat menangani proses tender untuk projek pembersihan sungai.

Pada Januari lalu, Zaharin memuat naik ke media sosial senarai kontraktor yang dikatakan telah diberikan kontrak untuk membersihkan sungai dan tasik di Kuala Lumpur.

Khalid kemudian mengancam untuk menyaman blogger berkenaan berikutan tuduhan itu.

Menteri itu berkata bagi projek-projek yang mempunyai lebih daripada satu pembida, cabutan nombor biasanya akan dilakukan bagi memilih kontraktor.

Undian itu, katanya adalah cara untuk memecahkan "kartel" yang mengawal DBKL dalam menganugerahkan kontrak.


Tiada ulasan: