HALAMAN SANTAI

Jumaat, 15 Februari 2019

Nak perhatian Rafizi serang PH -- UMNO tidak lemah, semangat penyokong PH yang luntur



KUALA LUMPUR. - Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menganggap kemasukan beberapa bekas wakil rakyat UMNO ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak akan melemahkan UMNO, sebaliknya melunturkan semangat penyokong Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata, tindakan Bersatu menerima bekas-bekas ahli Parlimen UMNO itu dilihat sebagai mengutip 'sampah' dan berlawanan dengan mandat rakyat semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang menolak UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Rafizi yang dianggap rapat dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim malah berkata, tindakan Bersatu itu juga akan melunturkan semangat penyokong PH pada musim Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih ketika ini.

"Kalau untuk lemahkan UMNO, itu tidak melemahkan UMNO. Ia dilihat sebagai mengutip sampah dan berlawanan dengan mandat rakyat PRU-14 tolak UMNO dan BN.

"Ia melunturkan semangat penyokong PH ke arah PRK Semenyih. Saya cadang tumpu bela rakyat," kata Rafizi menerusi kenyataan dalam laman Twitter beliau hari ini.

Semalam, enam bekas wakil rakyat UMNO menyertai Bersatu kerana yakin dengan perjuangan yang dibawa Perdana Menteri yang juga Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Mereka adalah Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad; Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd. Fakeh dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Keputusan menerima mereka ditentang oleh ramai pemimpin PH.-UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: