HALAMAN SANTAI

Khamis, 14 Februari 2019

Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka menyederhana pada 2019 – BNM

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia dijangka terus mengalami pertumbuhan sederhana tahun ini, didorong kebanyakannya oleh faktor termasuk permintaan luaran dan perbelanjaan swasta yang berdaya tahan.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata peningkatan eksport kepada RM836.4 bilion pada 2018 berbanding RM807 bilion pada 2017, juga akan terus menjadi pemacu pertumbuhan bagi tempoh 2019.

Beliau bagaimanapun mengakui risiko penyusutan yang dihadapi Malaysia seperti ketidaktentuan akibat ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China serta impak pengurangan kadar faedah AS dan Kesatuan Eropah (Brexit).

Nor Shamsiah berkata demikian kepada media selepas mengumumkan maklumat Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia bagi tahun penuh 2018 dan pertumbuhan suku keempat di sini, hari ini.

Menurutnya, pada suku ketiga, BNM telah mengukur impak ketegangan perdagangan terhadap KDNK yang berada sekitar 100 mata asas.

“Namun itu merupakan senario terburuk yang telah kita ambil kira dalam unjuran asas dengan mengambil kira kesan ketegangan perdagangan tersebut. Kita (bagaimanapun) tidak melihat impaknya terhadap pertumbuhan eksport yang sebaliknya meningkat pada suku keempat.

“(Prestasi) bahagian pasaran elektrikal dan elektronik Malaysia ke AS turut meningkat dalam tempoh itu walaupun berlakunya pertikaian perdagangan tersebut,” katanya.

Nor Shamsiah menjelaskan, terdapat tempoh ketidaktentuan pasca Pilihan Raya Umum ke-14 yang disusuli pertumbuhan KDNK 4.4 peratus pada suku ketiga.

Namun pada suku keempat, Malaysia menyaksikan peningkatan pelaburan awam berikutan redanya kebimbangan mengenai ketidaktentuan dasar yang membantu dari segi sumbangan kepada pertumbuhan 4.7 peratus (dalam suku keempat).

Pada bulan depan, bank pusat itu akan mengumumkan langkah penampan bagi memberi sokongan terhadap pertumbuhan serta peningkatan kos sara hidup.

Tiada ulasan: