Bekas perdana menteri Najib Razak - serta beberapa pemimpin kerajaan BN - masih bebas walaupun sudah didakwa di mahkamah kerana PH menjunjung amalan kedaulatan undang-undang, kata Hanipa Maidin.
Menurut timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, kerajaan sedar ada ramai orang yang berharap Najib dimasukkan ke penjara.
Hal itu katanya berlaku apabila orang ramai melihat Najib masih bebas berkeliaran malah berkempen membantu BN dalam beberapa PRK.
"Hanya kerana bekas perdana menteri itu sudah didakwa dengan puluhan pertuduhan jenayah, bukan bermakna kita tidak perlu lagi membuktikan pertuduhan ke atas beliau terlebih dahulu.
"Oleh kerana kesalahan yang dituduh itu dipanggil bailable offences (kesalahan boleh diikat jamin ), maka beliau berhak untuk dijamin - jika dia berupaya membayar jaminan - dan mematuhi syarat jaminan.
"Semasa dalam tempoh jaminan, beliau bebas bergerak. Jaminan hanya boleh dibatalkan jika beliau langgar prasyarat jaminan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sejak kalah dalam PRU ke-14 lalu, Najib bersama beberapa pemimpin kanan Umno dihadapkan ke mahkamah atas beberapa tuduhan melibatkan kes rasuah dan pengubahan wang haram.
Keadilan melulu bukan keadilan
Berbanding
tokoh berprofil tinggi lain, Najib kelihatan begitu aktif menonjolkan
dirinya di khalayak ramai serta di media sosial, malah mengisytiharkan
dirinya sebagai Raja Troll.
"Kerajaan mesti buat tertuduh susah juga, seperti dia pernah menyusahkan rakyat. Secara umum ia memang nampak macam adil.
"Malangnya, proses undang-undang tidak sebegitu. Keadilan melulu amat asing dengan prinsip kedaulatan undang-undang, malah ia hampir sama seperti undang-undang rimba," katanya.
Menurut Hanipa, sebagai kerajaan baru PH tidak boleh sama sekali beroperasi dalam paradigma undang-undang rimba kerana itu amalan kerajaan terdahulu.
"Sebab itu kita hormati prinsip seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah, walaupun ke atas musuh politik.
"Kebencian tidak boleh menghalang kita berlaku adil kepada orang yang kita benci," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan