KUALA LUMPUR: Jaringan Muslimin Pulau Pinang telah membuat laporan polis membantah tayangan teater "Sex In George Town" yang dijadualkan 14 Februari depan negeri itu.
Laporan turut melibatkan beberapa
aktivis NGO dan politik itu telah diketuai oleh Ustaz Mohamad Hafiz
Noordin di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Jelutong, semalam.
Gesa mereka, tayangan teater tersebut
mesti dibatalkan serta-merta dan tidak menerima sama sekali hasrat oleh
pembuat filem itu untuk menukar tajuknya.
Tegas mereka, teater bertema seks
termasuk perbuatan luar tabii itu telah mencabar sensitiviti umat Islam,
bahkan mencabar perundangan berkaitan sebaran bahan-bahan lucah.
Menurut Ustaz Hafiz, perkara sama pernah
berlaku dua tahun lalu apabila ada pihak membawa masuk filem hubungan
luar tabii dari Vietnam yang dilakonkan dua gay.
"Masa itu mungkin ada kesilapan. Tapi
bila cuba dilakukan kali kedua ini, maknanya mereka sedang
mempersendakan perundangan negara. Sedangkan kandungan teater ini tidak
bermoral, tidak berakhlak.
"Kempen yang dibawa menerusi teater ini
membawa kepada maksiat dan mungkar. Jadi hentikan teater ini," tegasnya
kepada media selepas laporan itu.
Mereka juga bimbang kerana teater itu
dipromosikan sempena Hari Valentine di mana percaya jika ia diteruskan
pasti tayangan sama akan diadakan pula di bandar-bandar lain.
Oleh itu gesa mereka, demi menyelamatkan
anak muda dan mengelakkan kucar-kacir kepada negara, usaha
memartabatkan teater lucah oleh golongan Liberal itu mesti dikekang.
Mereka turut mendesak Menteri di Jabatan
Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Mujahid Yusof untuk turun ke negeri itu
menangani bantahan masyarakat Islam terhadap teater tersebut. - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan