ISMA WEB
Polis Kuantan tidak menyatakan sama ada peniaga yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong turut ditangkap
KUANTAN
– Dua lelaki ditahan pihak polis hari ini, bagi membantu siasatan
berhubung kes mengugut seorang peniaga Cina di Lorong Tun Ismail di
sini, susulan tindakan peniaga itu meninggalkan komen yang dilihat
menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin
Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner
Mohamad Noor Yusof Ali berkata, tangkapan ke atas kedua-dua lelaki itu,
yang masing-masing berusia 32 tahun dan 36 tahun, dibuat selepas peniaga
berusia 45 tahun berkenaan membuat laporan polis malam tadi.
Memetik laporan Utusan Malaysia, peniaga
terbabit mendakwa terdapat beberapa lelaki ke kedainya memaki hamun dan
mengajaknya bergaduh.
“Siasatan awal mendapati pengadu
didatangi beberapa lelaki yang tidak dikenalinya dan memarahinya
mengenai komen terhadap gambar Yang di-Pertuan Agong. Suspek juga ada
mengeluarkan perkataan berunsur ugutan bagi menakut-nakutkan pengadu.
“Hasil siasatan awal juga mendapati
suspek berasa marah terhadap komen dibuat pengadu kerana dianggap telah
menghina institusi diraja dan kemuliaan raja-raja Melayu,” katanya di
sini hari ini.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 506
Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah, yang jika sabit kesalahan boleh
dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Semalam, tular di media sosial rakaman
video memaparkan dua lelaki mendepani seorang peniaga Cina, dalam
kejadian dipercayai berkaitan dengan tindakan lelaki Cina itu – yang
dipercayai pemilik akaun Facebook menggunakan nama Michael Chiah –
memuatnaik komen menghina Yang di-Pertuan Agong.
Dalam video itu, kelihatan dua lelaki
menunggu di hadapan kedai didakwa milik Micheal Cheah berhampiran Plaza
Kuantan di sini, dan sejurus lelaki yang dipercayai pemilik akaun
Facebook itu keluar kedai, berlaku pertikaman lidah antara mereka.
Video Player
00:00
01:42
Tiada ulasan:
Catat Ulasan