HALAMAN SANTAI

Ahad, 24 Mac 2019

Filem Upin & Ipin jadi mangsa rakam rompak

MALAYSIAKINI

   

Filem animasi Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal yang baru bermula tayangan empat hari lalu sudah menjadi mangsa rakam haram penonton tidak bertanggungjawab.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) Malaysia, Ahmad Idham Nadzri berkata, aduan dibuat penerbit filem berkenaan iaitu Burhanuddin Md Radzi selepas menyedari filem anismasi itu tular di media sosial.

Katanya, pasukan khas Finas juga segera bertindak memantau selain mengambil tindakan sewajarnya ke atas aduan tersebut.

"Produser filem (Burhanuddin) mengadu kepada saya sudah ada penonton merakam visual empat minit dan berkongsi di Youtube.

"Mujurlah, kami (Finas) ada pasukan khas yang sememangnya memantau perkara ini berjaya padam rakaman itu daripada terus viral," katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Idham memohon semua pihak terutama pihak pawagam sentiasa memantau dan meningkatkan tahap pengawasan di dalam pawagam.
Kata Ahmad Idham lagi, jika pihak pawagam tiada kapasiti untuk bertindak, mereka boleh menjalin kerjasama dengan Finas untuk mencari jalan penyelesaian yang dirasakan sesuai.

Sejak dilantik sebagai CEO Finas, isu berkaitan rakaman dan muat naik karya secara haram ke platform salah, menjadi antara keutamaan perjuangan yang ingin diberi perhatian oleh Ahmad Idham.

"Kalau pengguna ternampak aktiviti berkaitan ketika tayangan, terus saja melaporkannya kepada pihak pawagam untuk tindakan selanjutnya.

"Saya sangat memandang serius perkara ini untuk membantu penerbit tempatan yang terpaksa berdepan dengan isu-isu seperti ini," katanya.

Beliau juga akui tidak teragak-agak menggunakan kapasiti sebagai CEO untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak yang terbabit dalam aktiviti berkaitan.

Filem Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal menelan belanja RM20 juta dan mengambil masa lima tahun untuk disiapkan dengan menggunakan 100 peratus kepakaran anak tempatan.

Filem animasi itu mula ditayangkan sejak 21 Mac lalu.


Tiada ulasan: