HALAMAN SANTAI

Ahad, 22 September 2019

Bekas setiausaha sulit Ahli Parlimen Tebrau didakwa menipu

Bernama
 mahkamah-1


 

JOHOR BAHRU – Bekas setiausaha sulit kepada Ahli Parlimen Tebrau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas tujuh pertuduhan menipu membabitkan keseluruhan nilai RM39,450, tahun lalu.

Tertuduh, S. Saswin Nair membuat pengakuan berkenaan selepas kesemua pertuduhan menipu atas urusan pembelian Rumah Mampu Biaya Johor (RMBJ) dan pembelian barangan kemas serta pemberian baucer ‘Kembali Ke Sekolah’ berkenaan dibacakan di hadapan Majistret Haffiza Jemali.

Bagi pertuduhan pertama hingga keempat, Saswin didakwa memperdayakan tiga lelaki dengan menawarkan pembelian RMBJ di kawasan Taman Daya, di sini, sehingga mendorong kesemua mangsa masing-masing menyerahkan wang tunai RM9,150; RM7,000 dan RM8,000 sebagai deposit.

Dia didakwa melakukan perbuatan berkenaan di Taman Nusa Jaya di Iskandar Puteri, Bandar Seri Alam serta Taman Setia Tropika, di sini antara 22 Nov dan 25 Dis 2018.

Bagi pertuduhan kelima, Saswin didakwa memperdaya seorang lelaki bagi pembayaran deposit pembelian barangan kemas di sebuah kedai emas di Jalan Wong Ah Fook, di sini, pada 27 Julai lepas, sehingga mendorong lelaki berkenaan menyerahkan wang tunai RM15,000 kepadanya sedangkan barangan kemas itu tidak diserahkan seperti dijanjikan.

Kesemua perbuatan terbabit didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan keenam dan ketujuh, tertuduh didakwa memperdaya dua lelaki sehingga mendorong kedua-duanya percaya bahawa Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong mengeluarkan baucer ‘Kembali Ke Sekolah’ masing-masing bernilai RM150 untuk dituntut sedangkan baucer terbabit adalah palsu hingga menjatuhkan reputasi Choong.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tebrau, di sini, pada penghujung Disember 2018 dan dia didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Chan Choon Yew dan Adilah Nur Yahya manakala Saswin Nair diwakili peguam Iskandar Shah Ibrahim.

Majistret Haffiza membenarkan tertuduh diikat jamin RM14,000 dengan dua orang penjamin bagi ketujuh-tujuh pertuduhan itu dan menetapkan sebutan semula kes pada 23 Oktober ini. – Bernama


Tiada ulasan: