HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 September 2019

'Allah takdirkan kerjasama Umno-PAS sebelum PRU14 gagal'



 
Timbalan Mursyidul Am PAS Ahmad Yakob mengakui kerjasama antara partinya dengan Umno sudah diusahakan oleh kepimpinan kedua-dua parti sejak sebelum PRU ke-14.

Bagaimanapun, katanya yang juga menteri besar Kelantan itu, Allah mentakdirkan kerjasama itu tidak berlaku pada masa itu.

"Selepas PRU ke14 Allah SWT mentakdirkan apa yang berlaku hari ini (kerjasama), gara-gara sebelum PRU ke-14 sudah ada usaha kepimpinan untuk sama-sama buat persefahaman antara Umno dan PAS, tetapi Allah takdirkan (ia) tidak berlaku.

"Tetapi ia berlaku selepas PRU, Allah nak mengajar kita dan tarbiyah kita lagi. Nak bagi BN rasa bagaimana menjadi pembangkang, mudah atau susah.

"(Dan) nak tengok bagaimana kuasa sebelum ini yang dipegang orang Melayu kini boleh dikatakan sudah bertukar tangan, lebih dikuasai bukan Melayu," katanya di program Ceramah Perdana Hijratul dan Penyatuan Ummah di Pasir Mas, Kelantan, semalam.

Turut hadir ialah Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

Pada 14 September lalu, PAS dan Umno memeterai Piagam Muafakat Nasional yang antara lain menggariskan matlamat kerjasama - atau taawun siyasi - dua parti itu.

Ia selepas kerjasama tidak rasmi dua parti itu yang antaranya membawa kemenangan di tiga pilihan raya kecil berturut-turut iaitu di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata PAS dan Umno mengambil tindakan yang cepat untuk membentuk kerjasama itu.

"Bagi saya sesuatu tindakan yang amat cepat diambil oleh pimpinan Umno dan PAS untuk mengadakan Piagam Muafakat Nasional. Ia untuk menyatukan suara rakyat yang ingin melihat kuasa Islam tidak akan hilang di negara yang kita cintai ini," katanya lagi.


Tiada ulasan: