Bekas perdana menteri, Najib Razak melabel tindakan kerajaan negeri
Selangor pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang merobohkan rumah penduduk di
Kampung Kedondong, Paya Jaras Hilir pada Rabu lalu sebagai kejam dan
sesuatu yang tidak berperikemanusiaan.
Katanya, jika tindakan
tersebut perlu dibuat sekalipun ketika zaman Barisan Nasional (BN),
sudah pasti penduduk tidak akan dibiarkan tinggal sehelai sepinggang
sepertimana yang berlaku hari ini.
"Kalau pada zaman BN pasti kita akan sediakan penempatan sementara atau tetap.
"Saya
dapati bahawa tindakan pihak berkuasa boleh disifatkan sebagai sesuatu
yang sangat kejam, dan tidak ada ihsan dan tidak ada hati perut sama
sekali.
"Saya nak tekankan, kalau dalam zaman kerajaan BN, perkara seperti ini tidak akan berlaku,” katanya.
Najib
sebelum itu meluangkan masa beramah mesra dengan penduduk yang terjejas
di kawasan penempatan sementara yang didirikan itu.
Beliau juga
menyifatkan keadaan semasa itu sebagai tidak selesa dan boleh
menimbulkan tekanan kepada keadaan fizikal dan emosi penduduk yang
terjejas itu.
"Cuba bayangkan dalam kumpulan ini ada bayi yang
berumur empat tahun dan ada seorang wanita yang kena kanser peringkat
tiga di dalam kumpulan ini.
"Selain
dariapda itu, di bawah kumpulan ini ada juga rumah yang ada geran. Ada
yang tidak ada geran. Sepatutnya ada tidak ada geran, tidak ada geran
sekalipun kena sediakan penempatan sementara," katanya.
Najib
pada masa sama mempersoalkan alasan pihak berkuasa merobohkan rumah
penduduk di situ selepas dimaklumkan oleh wakil penduduk bahawa mereka
membayar semua cukai seperti taksiran, pintu dan tanah sebelum ini.
Dia juga menggesa pihak kerajaan negeri agar menyelesaikan masalah penduduk yang dialami dengan menyediakan penempatan sementara.
Mengulas
mengenai status kewarganegaraan penduduk yang didakwa sebagai pendatang
tanpa izin, Najib memberitahu ia "sebagai cerita mengarut dan cuba
untuk mengelirukan orang ramai".
Sebelum
ini, Adun Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman, berkata perobohan
tersebut dijalankan bagi mengatasi masalah banjir di empat kampung di
Paya Jaras dengan penduduk terlibat telah menerima notis pertama sejak
tahun 2015.
Bagaimanapun, katanya, projek rancangan tebatan banjir
itu telah tertangguh kerana ada penduduk yang enggan berpindah sehingga
menyebabkan masalah banjir terus dihadapi penduduk Kampung Paya Jaras
Hilir, Paya Jaras Dalam, Paya Jaras Tengah dan Paya Jaras Hulu.
Projek membabitkan kos RM5.93 juta itu dirancang sejak 2008, bermula pada Disember 2015 dan sepatutnya disiapkan pada Mei 2017.
Pada 18 September lalu, lebih 30 daripada 74 buah rumah yang terbabit di kawasan itu dirobohkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan