HALAMAN SANTAI

Isnin, 23 September 2019

Belanjawan 2020: Kementerian Kesihatan harap peruntukan lebih besar


   

Kerajaan diharap dapat menyediakan peruntukan yang lebih besar berbanding tahun lalu kepada Kementerian Kesihatan menerusi Belanjawan 2020 bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan di negera ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata antara perkara yang perlu diberi tumpuan adalah untuk menambah bilangan jawatan pakar dan pegawai perubatan di hospital-hospital kerajaan.

“Kementerian Kesihatan harap perbelanjaan yang meningkat (dalam Belanjawan 2020) untuk Kementerian Kesihatan, dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan kita, dari segi mendapatkan lebih lagi jawatan-jawatan untuk pakar-pakar dan pegawai perubatan kita,” katanya dalam sidang media di Semeling dekat Sungai Petani, hari ini.

Beliau diminta mengulas harapan kementeriannya untuk Belanjawan 2020 yang dijadual dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada 11 Oktober depan.

Dr Noor Hisham berkata pihaknya juga telah pun memberikan cadangan berkenaan secara rasmi kepada Kementerian Kewangan untuk pertimbangan kementerian itu dalam menyediakan belanjawan tersebut.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham berkata dua penyakit berkaitan jerebu iaitu asma dan konjuntivitis mencatatkan peningkatan kes di Kedah bagi tempoh 15 Sept hingga Sabtu lalu berbanding 30 Jun hingga 7 Sept lepas.

Katanya, kes penyakit asma meningkat sebanyak 44 peratus iaitu daripada 35 kes kepada 50 kes, manakala konjuntivitis meningkat 50.9 peratus daripada 11 kes kepada 16 kes.

“Manakala penyakit URTI (Upper Respiratory Tract Infection) menunjukkan penurunan sebanyak 7.1 peratus iaitu daripada 692 kes bagi tempoh 30 Jun hingga 7 Sept lalu kepada 643 kes bagi tempoh 15 Sept hingga Sabtu lepas,” katanya.

Menurutnya, terdapat dua Fasiliti Sentinel Jerebu iaitu Klinik Kesihatan Bakar Arang dan Klinik Kesihatan Kulim yang memantau penyakit berkaitan jerebu di negeri ini.

Terdahulu Dr Noor Hisham mewakili Kementerian Kewangan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam Program Komuniti Sihat Pembina Negara (Kospen) Plus dengan Asian Institute of Medicine, Science and Technology (AIMST) yang diwakili Naib Canselor dan Ketua Eksekutifnya, Profesor Emeritus Dr Harcharan Singh Sidhu.

Menerusi MoU itu, kedua-dua pihak akan meningkatkan komitmen masing-masing dalam memacu inisiatif kesihatan menerusi program itu yang merupakan satu inisiatif menggalakkan gaya hidup sihat sekali gus mencapai keseimbangan hidup bekerja.-Bernama


Tiada ulasan: