HALAMAN SANTAI

Ahad, 22 September 2019

Jerebu: Jumlah kawasan tidak sihat bertambah jadi 38

MALAYSIAKINI

   

Jumlah kawasan dengan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) tidak sihat setakat jam 8 pagi tadi meningkat kepada 38 kawasan berbanding 18 bagi tempoh sama, semalam.

Jumlah itu menyaksikan pertambahan lokasi di beberapa negeri yang terjejas serta penambahan negeri baru seperti Kedah, Perak, Melaka, Pahang, Johor dan Terangganu.

Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), setakat pukul 8 pagi Kedah menjadi negeri terbaru dengan dengan dua kawasan mencatatkan IPU tidak sihat iaitu Sungai Petani (107) dan Kulim Hi-Tech (105) diikuti Perak dengan lima kawasan di Perak, iaitu Taiping (111), Tasek (164), Pegoh (145), Seri Manjung (132) dan Tanjung Malim (132).

Kawasan baru lain mencatatkan IPU tidak sihat termasuk ILP Miri, Sarawak (102); Port Dickson, Negeri Sembilan (104); Alor Gajah, Melaka (104); Segamat, Johor (129); Seberang Jaya , Pulau Pinang (103) dan lima di Pahang iaitu Rompin (114);Temerloh (127); Jerantut (134); Indera Mahkota Kuantan (142); dan Balok Baru Kuantan (135).

Turut menjadi negeri terbaru memiliki kualiti udara tidak sihat ialah Terengganu dengan tiga kawasan membabitkan Kemaman (142), Paka (125) dan Kuala Terengganu (136).

Sementara itu, Sarawak menunjukkan perkembangan baik selepas hanya empat kawasan berada pada paras IPU tidak sihat pagi ini, iaitu Miri (107); Sri Aman (183); Kuching (139); dan Samarahan (136) berbanding lapan kawasan, semalam.

Kekal dengan IPU tidak sihat sejak semalam adalah dua kawasan di Kuala Lumpur iaitu Cheras dan Batu Muda masing-masing dengan bacaan IPU 153 dan 173, sementara Putrajaya (138) diikuti Minden (140) dan Balik Pulau (151) di Pulau Pinang.

Turut kekal dengan IPU lebih 100 ialah Tangkak, Johor (106) dan enam kawasan di Selangor iaitu Johan Setia Klang (193); Kuala Selangor (152), Petaling Jaya (148); Shah Alam (143); Klang (131); dan Banting (116), diikuti Negeri Sembilan melibatkan Nilai (140) dan Seremban (124).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Untuk berita terkini berkaitan jerebu boleh layari www.bernama.com.- Bernama


Tiada ulasan: