HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 September 2019

Peluk pinggang ibu saudara sendiri

Nur Saliawati Salberi
 


PEMILIK bengkel dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan cuba mencabul warga emas yang juga ibu saudaranya.

Bagaimanapun, tertuduh yang berusia 45 tahun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap wanita warga emas berusia 64 tahun dengan memeluk bahagian pinggang dengan tujuan mencabul kehormatan mangsa.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh dalam bilik air di sebuah rumah di Ayer Molek pada 4 petang, 21 September lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika didapati bersalah.

Prosiding pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal yang turut mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 ditawarkan kepada tertuduh selain diminta tidak mengganggu mangsa.

Tertuduh yang tidak berkahwin itu kemudiannya merayu agar jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan bekerja sendiri.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa.

Selain itu, mahkamah turut menetapkan 3 Disember depan untuk tarikh sebutan semula dan serahan dokumen

Tiada ulasan: