HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 September 2019

Selayaknya Tommy tidak terlibat pendakwaan kes Allahyarham Muhammad Adib

Manzaidi Mohd Amin
IQBALBERJASA
Iqbal Hakim Abdul Razak
 
KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda Berjasa meminta semua pihak menerima dan menghormati keputusan inkues yang diputuskan oleh Mahkamah Koroner Shah Alam hari ini.

Ketua Pemuda, Iqbal Hakim Abdul Razak berkata, mereka seharusnya memberi kerjasama yang baik kepada institusi kehakiman negara ini yang telah menunjukkan keadilan dan mengembalikan kepercayaan rakyat.

“Pemuda Berjasa sendiri menyambut baik keputusan itu, yang memutuskan kecederaan dan kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim adalah akibat daripada tindakan jenayah sekumpulan individu yang tidak dikenalpasti.

“Dengan ini, kami menyeru semua pihak menerima keputusan ini dengan hati yang terbuka setelah buat sekian lama rakyat Malaysia mengikuti perkembangan kes ini.

“Hormatilah keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah dan kepada pihak yang terbabit berikanlah kerjasama yang baik kepada insitusi kehakiman negara kita,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Menurut Iqbal Hakim, rakyat perlu sama-sama menghindari sikap dan contoh segelintir Exco kerajaan negeri, bahkan beberapa menteri yang menunjukkan sikap tidak hormat kepada pihak berkuasa yang turut menyumbang kepada tercetusnya rusuhan di Kuil Sri Mariamman, Subang Jaya pada Disember lalu.

Kata beliau, Pemuda Berjasa turut menyeru kepada polis agar bertindak segera dan dengan cekap untuk mengendalikan kes itu.

“Selayaknya keadilan untuk Allahyarham Muhammad Adib dan keluarganya dilaksanakan secepat mungkin agar suasana tidak menyenangkan yang tercetus hasil daripada insiden ini dapat diredakan.

“Kami yakin kapasiti dan kemampuan polis untuk menyelesaikan siasatan dengan segera secara profesional dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak yakin dengan kewibawaan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas untuk mengendalikan kes itu nanti.

Ini kerana Mahkamah Koroner Shah Alam telah memutuskan secara prima facie bahawa beliau telah melakukan kesalahan menghina mahkamah.

Katanya, memandangkan Peguam Negara sendiri masih dalam proses berhadapan dengan tuduhan menghina mahkamah, selayaknya beliau tidak terlibat dalam siasatan dan pendakwaan kes kematian Allahyarham Muhammad Adib.

“Ini penting demi memelihara imej dan kewibawaan Jabatan Peguam Negara di mata rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: